JKN Melaka nafi guru meninggal dunia akibat varian baharu Covid-19

Iklan
Gambar hiasan.

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memerlukan masa kira-kira dua minggu untuk mengesahkan varian virus yang menjangkiti seorang guru wanita yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Rabu lalu.

Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr Ismail Ali berkata, isu tular berkenaan kematian guru berkenaan yang dijangkiti varian baharu Covid-19 adalah tidak tepat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, survelan genomik sampel Covid-19 yang dijalankan oleh Institut Perubatan (IMR) adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan varian virus berkenaan.

"Ia merupakan proses yang kompleks dan mengambil masa dua minggu. Varian virus Covid-19 bagi arwah masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Justeru, beliau meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan berita tidak benar mengenai kematian guru tersebut.

Mengulas mengenai kronologi kes kematian guru tersebut Dr Ismail berkata, arwah mulai tidak sihat pada 5 Mei lalu dan telah mendapatkan rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta berhampiran rumahnya, sebelum mengalami gejala batuk dan sukar bernafas bermula 17 Mei.

Iklan

"Pada 5 pagi 19 Mei, arwah ditemui tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan. Arwah terus dihantar ke Hospital Melaka, diberi bantuan pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

"Ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 yang dijalankan ke atas arwah mendapati keputusan adalah positif Covid-19 dan keadaan arwah bertambah tenat sebelum disahkan meninggal dunia pada 19 Mei jam 11.40 malam,” katanya. - Bernama