MASIH belum terlambat untuk saya mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada seluruh warga pendidik yang baru sahaja disambut pada 16 Mei baru-baru ini.
Jika tidak kerana halangan penyakit Covid-19, sudah tentu sambutan Hari Guru dilaksanakan secara meriah terutamanya di peringkat sekolah.
Malah, pada masa sama, ucapan hari guru sentiasa bertali arus dalam media sosial bagi menterjemahkan penghargaan yang tinggi kepada insan yang bergelar guru.
Sebetulnya, tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima Laporan Razak sebagai teras Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Maka pada 16 Mei 1972, sambutan Hari Guru julung kali diadakan dengan tema ‘Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara’ bagi mencapai salah satu objektif sambutan Hari Guru iaitu meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
Sesungguhnya, peranan guru begitu penting dalam masyarakat. Memetik pandangan Saidina Ali Abi Talib RA dalam buku tulisan Pak Hamka, Prinsip dan Kebijaksanaan Dakwah Islam, beliau berkata:"Orang jahil tidaklah bertanggungjawab mengapa mereka tidak belajar, yang lebih dahulu bertanggung jawab ialah ulama (guru), mengapa mereka tidak mengajar?.
Ini bermakna, para gurulah yang menerangi kegelapan mereka yang jahil. Pun begitu, bukan mudah mendidik mereka yang jahil. Ini kerana, pengorbanan, komitmen yang tinggi, sentiasa perbaharui ilmu serta ikhlas sangat dituntut untuk mencelikkan mereka.
Pada tahun 1975 sehingga 1987, saya mula berguru di sekolah rendah dan menengah. Walaupun ketika itu, tiada sambutan Hari Guru semeriah hari ini, namun mereka memberi impak yang besar dalam kehidupan saya.
Sewaktu saya Tahun Enam, saya telah diajar oleh guru sifat berani dan gigih sebelum menjadi juara mendeklamasikan puisi peringkat negeri Kelantan.
Di sekolah menengah pula, saya dilatih untuk fokus dalam berpidato sehinggakan pelbagai koleksi piala kemenangan diperagakan di rumah.
Selain itu, kesungguhan guru memberikan tuisyen peribadi secara percuma, membeli buku rujukan kepada saya, serta sentiasa belanja saya makan di restoran dan kantin sekolah menyebabkan budi tersebut telah terbenam di lubuk hati hingga kini.
Pada hemat saya, kesemua itu dilakukan oleh guru kerana adanya nilai ikhlas yang tinggi dalam diri mereka. Berkaitan sifat ikhlas, Pak Hamka menerusi bukunya Peribadi Hebat berkata:"Bagi tubuh adalah nyawa yang memberikan kehidupan.
"Jika nyawa tidak ada lagi, matilah tubuh. Bagi peribadi, ikhlaslah yang menjadi nyawanya. Peribadi yang tidak memiliki keikhlasan adalah peribadi yang mati. Meskipun dia masih bernyawa, erti hidupnya tidak ada.”
Pada hemat saya, jika hanya berpandukan kepada modul dan bahan pengajaran yang telah disediakan, sesiapapun boleh mengajar ‘kebaikan’ berpandukan modul tersebut.
Namun, perkara utama yang perlu diperteguhkan adalah kualiti guru itu sendiri. Jika sekadar, menyampaikan ‘kebaikan’ bagi melaksanakan tugas hakiki mereka, ilmunya tidak akan sampai ke hati pelajar.
Oleh itu, para guru perlu menyerap nilai ikhlas, penyayang, jujur, amanah serta berintegriti tinggi dalam melaksanakan tugasan-tugasan mereka.
Rumusannya, ‘guru perlu bercakap dari hati dan bukannya dari lidah’ agar jiwa yang murni sentiasa segar dan abadi bagi insan bergelar guru.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis