[INFOGRAFIK] Rakyat Palestin tidak hanya mendiami bumi para anbiya itu, malah mereka hidup bertaburan di seluruh dunia.
Berdasarkan laman web Global Exchange, terdapat lebih 8.3 rakyat Palestin tinggal di luar negara pada 2013.
Mereka itu dilaporkan mula berhijrah ke luar negara susulan Perang Arab-Israel yang tercetus pada 1948.
Di samping itu, rakyat Palestin juga keluar dari bumi para anbiya itu akibat kekejaman rejim Israel yang mengusir mereka keluar dari rumah masing-masing.
Segelintir yang lain pula berhijrah ke luar negara kerana mahu mendapatkan pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kebebasan beragama yang lebih baik.
Paten penghijrahan rakyat Palestin ke luar negara dilihat berterusan pada era 70-an, 80-an dan 90-an.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Palestinian Central Bureau of Statistics pada 2019, lebih 13 juta rakyat Palestin mendiami serata pelosok dunia.
Daripada jumlah itu, seramai 5,101,414 orang masih menetap di negara berkenaan yang mana tiga juta tinggal di Tebing Barat dan dua juta di Gaza.
Sementara kira-kira 5.6 juta pula berada di negara-negara Arab, 1.6 juta berada di Israel dan lebih 700,000 menetap di negara-negara lain yang ada di dunia ini.
Walaupun sebahagian besarnya berada di luar negara, namun mereka masih lagi ‘berjiwa’ Palestin dan sentiasa menyokong rakyat yang masih menetap di negara itu.
Malah, sebahagian besarnya juga mengharapkan dapat pulang semula ke tanah air mereka suatu hari nanti.
Di Malaysia, dianggarkan terdapat lebih kurang 4,000 rakyat Palestin yang menetap di sini pada 2015.
2,000 daripadanya merupakan pelajar di institusi pengajian awam dan swasta manakala 1,000 lagi adalah pelarian perang.
Kebanyakan daripada pelarian tersebut hanya tinggal di Malaysia buat sementara waktu bagi mendapatkan perlindungan.
Ini kerana mereka hanya mempunyai dokumen perjalanan yang terhad untuk terus menetap di negara ini.
Selepas itu, mereka akan berhijrah ke negara lain bagi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.
Dalam kalangan rakyat Palestin yang berhijrah di serata dunia itu, terdapat mereka yang mencipta nama dalam pelbagai bidang dan dikenali ramai.
Namun, kebanyakan daripada mereka ialah generasi kedua atau anak kepada migran yang meninggalkan Palestin ketika negara itu berdepan ancaman biadab rejim Israel.
Walaupun membesar dalam keadaan yang senang, namun mereka tidak pernah lupa asal-usul keturunan masing-masing.
Malah, mereka sentiasa menunjukkan solidariti terhadap negara asal usul ibu bapa mereka ketika rakyatnya berdepan kekejaman dan keganasan rejim Israel.