WALAUPUN apa yang berlaku di bumi Palestin ketika ini semakin sukar dijangka, umum mengetahui bahawa pergolakan antara Zionis Israel dan Hamas itu sendiri sudah tidak dapat dielakkan. Ini kerana apa yang berlaku di wilayah itu sudah menjadi sebahagian DNA hubungan Israel-Palestin yang wujud sejak 75 tahun lalu.
Ketika makalah ini ditulis, aktiviti berbalas serangan antara tentera Israel dan pejuang Hamas di Gaza masih berterusan. Laporan terkini berita Aljazeera mencatatkan sekurang-kurangnya 230 warga Palestin, termasuk 65 kanak-kanak telah terbunuh sepanjang tempoh 11 hari serangan tersebut.
Di pihak Israel pula, 12 nyawa juga turut terkorban manakala hampir 2,000 tercedera dan kemusnahan harta benda dianggarkan sekitar AS$322 juta (RM1.33 bilion).
Menariknya, sejak pergolakan ini memuncak, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Keselamatannya (UNSC) sudah empat kali cuba untuk mengemukakan resolusi untuk mengambil tindakan ke atas Israel. Namun seperti biasa, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya bagi menggagalkan resolusi tersebut.
Sesiapa yang mengikut permasalahan Palestin tahu ia bukan sesuatu yang baru. Sejak 1970-an, AS negara yang paling banyak menggunakan kuasa vetonya berbanding anggota tetap yang lain.
Dari tahun 1972 (AS menggunakan kuasa veto buat kali pertama selepas insiden keganasan Israel di sempadan Lubnan) sehingga 2017 (kali terakhir dalam kes menjadikan Jerusalam sebagai ibu kota Israel), AS sudahpun 43 kali menggunakan kuasa veto untuk melindungi Israel dalam UNSC.
Bukan tiada tekanan secara peribadi AS kepada Israel. Presiden Joe Biden sendiri Khamis lalu sudah menghubungi Netanyahu memohon supaya meredakan serangan dan segera melakukan gencatan senjata. Namun, Netanyahu mengatakan akan nekad untuk terus mengebom Gaza sampai matlamat Israel tercapai. Begitulah kebal dan sombongnya Zionis Israel laknat ini.
Maka apakah penyelesaian untuk masalah Palestin ini? Benar jawapannya adalah lawan. Tetapi cara melawan itulah yang sebenarnya harus difikirkan. Dari satu aspek, keupayaan untuk melawan secara ketenteraan adalah pilihan yang paling sukar dilakukan. Kekuatan, kelengkapan serta kecanggihan teknologi ketenteraan Israel adalah antara yang terbaik di dunia.
Laporan Global Fire Power tahun 2021 meletakkan kekuatan ketenteraan Israel di tangga ke-20 dari 140 negara dengan skor 0.3464 (di mana skor 0.000 dianggap sebagai paling baik). Bagi negara sekecil itu, skor ini sudah terlalu bagus dan signifikan.
Penyelesaian
Kalau mengharap kekuatan ekonomi, satu dunia tahu bagaimana dominannya puak itu dalam semua sektor perniagaan global.
Nak harap dunia Islam terutamanya negara-negara teluk dengan kekuatan ekonomi minyak yang berada dalam penguasaan mereka, masing-masing sibuk dengan kekayaan baharunya untuk membina dan memodenkan padang pasir tandus mereka menjadi metropolitan berkelas dunia.
Untuk memutuskan kitaran keganasan Zionis Israel ini memerlukan tekanan berterusan masyarakat antarabangsa atas kapasiti kemanusiaan.
Ini masa terbaik untuk meningkatkan tekanan terutamanya selepas melihat bagaimana reaksi masyarakat antarabangsa yang mula melihat isu ini sebagai jenayah kemanusiaan serta pencabulan hak asasi.
Isu ini sudah dilihat jauh melangkaui batas agama, kepercayaan dan kebangsaan. Maka ia perlu segera digembleng agar mampu mewujudkan tekanan yang kuat dan berterusan ke atas AS yang jelas sering menjadi bacul dalam isu Israel.
Hal inilah yang menggerunkan AS dan Israel kerana tekanan antarabangsa mampu meningkatkan kesedaran global dan seterusnya membawa pergerakan masyarakat madani yang tidak dapat ditepis oleh kedua sekutu itu.
Alasannya mudah, gerakan madani antarabangsa boleh mempengaruhi kerajaan masing-masing untuk menggunakan pendekatan diplomatik bagi menekan AS dan Israel.
Selalunya sukar bagi mana-mana kerajaan menolak desakan rakyat dek takut ia akan menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya dan sebaliknya akan berlaku kalau mereka memenuhinya.
Mungkin solusi ini nampak kompleks, tetapi semua negara sepatutnya melihat ini sebagai alternatif dalam menyelesaikan permasalahan di Palestin.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)