Jadikah gencatan senjata?

Iklan

TIDAK sampai 24 jam gencatan senjata tanpa syarat oleh Israel ke atas Palestin pada jam 2 pagi Jumaat, 9 Syawal 1442 bersamaan 21 Mei 2021 waktu Gaza, negara aparteid Zionis itu mula melancarkan serangan semula dengan merempuh masuk ke Masjid al-Aqsa dan menyerang penduduk.

Israel memulakan perang 11 hari itu dengan memprovokasi serta menyerang para jemaah yang mendirikan solat serta beriktikaf di Masjid al-Aqsa pada malam dan hari penghujung Ramadan lepas.

Iklan
Iklan

Provokasi ini juga ada kaitan dengan kes pendatang Yahudi yang merampas tanah dan harta kepunyaan orang Palestin di kawasan Sheikh Jarrah.

Perang kali ini merupakan satu lagi konflik senjata dalam siri keganasan kerajaan serta penduduk Zionis ke atas umat Palestin di dalam dan luar tanah jajahan Zionis itu.

Iklan

Serangan lebih 4,000 roket mujahidin Palestin ke bahagian tengah serta selatan Israel adalah satu fenomena yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Serangan roket ini lebih menyengat walaupun Kubah Besi Zionis dapat menangkis 80-90 peratus daripada jumlah roket tersebut. Namun kita perlu berwaspada tentang siapa yang melaporkan tentang kejayaan Kubah Besi ini.

Iklan

Peranan pelbagai negara yang sedang berlumba-lumba untuk menjadi pendamai dan wira di tengah-tengah pentas siasah Timur Tengah perlu kita fahami.

Sudah tentu Mesir mestilah mahu menjadi penggerak utama untuk mendahului Turki, Qatar dan Iran.

Damai atau perang di Gaza, Mesir mendapat tempias bencananya dan juga habuan materialnya kerana selain Zionis Israel, Mesir mempunyai sempadan yang agak panjang dengan Gaza.

Satu-satunya jalan masuk ke Gaza dari Mesir ialah Pintu Rafah. Seperti biasa, gencatan senjata kali ini dibroker oleh Mesir.

Peranan penyokong Israel dalam kalangan negara Barat, khususnya Amerika Syarikat (AS) sangat penting. AS memberi jutaan Dolar sehari kepada Israel. Imej Presiden Biden dan Parti Demokratnya semakin buruk jika Israel tidak dipaksa untuk menghentikan serangan.

Seperti siri serangan sebelum ini, aktiviti ekonomi Israel sekali lagi terjejas dengan teruk.

Bagi rakyat Gaza dan seluruh Palestin, mereka hidup untuk ketika ini dan perang pada hari yang lain (to live and fight another day). Ini realiti hayat bila dijajah dan ditindas oleh sebuah kuasa aparteid Zionis yang bernama Israel.

Ini bukanlah keamanan yang tetap hingga ke hari kiamat. Ini hanyalah satu jangka masa untuk membalut luka, membangunkan kehidupan yang runtuh dan terus bersedia untuk menghadapi perang dalam masa lima atau 10 tahun akan datang.

Sudah tentu para pejuang Palestin di Gaza akan menggunakan masa ini untuk mengisi semula pengkalan perang mereka dengan pelbagai jenis roket buatan sendiri sebagai persiapan perang.

Dalam masa ini suasana siasah Palestin mungkin boleh distabilkan dengan membereskan usaha pemilihan Presiden yang sudah tertunda.

Perbincangan ‘dua negara dan pulang ke sempadan tahun 1967’ terus menjadi kontroversial. Beberapa kumpulan Palestin menyetujuinya dengan syarat yang sangat ketat.

Namun bagaimanakah ia boleh menjadi realiti sedangkan secara haram Israel dan pendatang Yahudi terus membangunkan banyak penempatan baharu di atas tanah Palestin yang dirampas.

Sebagai seorang sukarelawan bantuan kemanusiaan yang telah memasuki Gaza pada 2009 dengan Mercy Malaysia, dan pada 2013 dengan Aqsa Syarif MyCARE, saya menyeru rakyat Malaysia untuk terus bermurah hati.

Sekali lagi Palestin memerlukan bantuan kita secara besar-besaran dan kita sebagai sebahagian daripada insan sejagat sanggup melaksanakannya.

* Datuk Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia