Sudah terhantuk baru tengadah

Iklan
Zolkples mengulas kemelut dihadapi PSM selepas keahliannya dilucutkan ASTAF pada Khamis.

"PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) ini sudah jadi sejarah segar dalam ingatan yang pada akhir hayatnya dibuang daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).”

Itu nada kekecewaan mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ketika mengulas kemelut berlanjutan dihadapi PSM selepas keahliannya dilucutkan ASTAF pada Khamis.

Iklan
Iklan

Malah menurut Zolkples, penubuhan persatuan baharu bagi menggantikan badan induk sepak takraw negara tersebut dilihat sebagai sesuatu yang wajar dalam mengembalikan semula imej sukan berkenaan terutama di peringkat antarabangsa.

Katanya, nilai sentimental dan sejarah penubuhan antara persatuan sukan tertua telah berakhir apabila kemelut yang melanda badan induk tersebut gagal diselesaikan sebelum ini.

Iklan

"Saya sebagai peminat takraw negara mengakui cukup sedih dengan situasi yang melanda sukan tradisi negara ini kerana dulu kita cukup digeruni dan dihormati lawan tetapi sebaliknya kini kemelut ini yang berlaku.

"Ya, betul sebelum ini kita boleh berbangga dengan pencapaian skuad sepak takraw negara di bawah PSM, namun situasi yang melanda sekarang menyebabkan segala kenangan manis berlalu begitu sahaja.

Iklan

"Sekarang bukan masa untuk sukan sepak takraw tersebut memikirkan perkara yang remeh-temeh, kerana sekarang ini sukan ini kena pandang ke hadapan disebabkan kita sudah terlalu jauh ketinggalan berbanding lawan kita Thailand dalam segala aspek. Malah kita pernah tewas kepada pasukan yang lebih kerdil daripada kita seperti Indonesia, Myanmar dan Laos.

"Sekarang bukan masa untuk arena sepak takraw negara mengulit kenangan lalu, sebaliknya masa untuk kita bekerja lebih keras membangunkan semula sukan ini,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Jumaat.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail sebelum ini menegaskan tidak akan menghalang sekiranya masih terdapat ahli gabungan yang mahu keluar daripada badan induk itu untuk menubuhkan 'pakatan baharu'.

Namun, Ahmad menegaskan kepada setiap ahli gabungan PSM untuk memperhalusi serta menilai kembali kesan negatif ekoran tindakan masing-demi survival persatuan sepak takraw tertua di dunia itu.

PSM sebelum itu pada Khamis dilucutkan keahlian gabungan ASTAF selepas didapati bersalah terhadap segala pertuduhan yang dikenakan ke atas badan induk tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: ASTAF gugur keahlian PSM

Selagi PSM masih bernafas...

Jelas Zolkples lagi, keputusan beberapa persatuan negeri yang bertindak keluar daripada PSM secara tidak langsung menunjukkan bahawa ahli gabungan telah hilang kepercayaan terhadap pertubuhan tersebut.

"Cuba fikir sejenak, ingat senang-senang ahli gabungan yang selama ini bersama PSM mengambil tindakan keluar begitu sahaja setelah sekian lama bersama persatuan tertua tersebut? Saya percaya di kalangan mereka sudah pastinya berbincang banyak kali mengenai perkara ini.

"PSM adalah antara persatuan yang paling bermasalah dan banyak problem yang perlu ditangani sepanjang saya menjadi ketua pengarah MSN sebelum ini.

"Hinggakan di dalam salah satu mesyuarat yang saya pengerusikan, saya meminta PSM menyerahkan tugas untuk melatih pasukan kebangsaan kepada MSN sepenuhnya kerana saya menerima banyak aduan daripada jurulatih mengenai campur tangan presiden PSM dalam program latihan.

"Bagi saya apa yang berlaku sekarang ibarat nasi sudah jadi bubur kerana PSM telah pun disingkir dari ASTAF. Oleh itu bagi saya, tiada jalan lain selain daripada penubuhan persatuan yang baharu dengan imej baharu dan orang yang baharu. Yang penting seperti yang saya selalu sebut mereka kenalah ikhlas tanpa ada apa-apa agenda peribadi.

"Saya nampak ada beberapa orang yang berminat dan bersungguh-sungguh untuk membangunkan semula sukan ini. Kita pernah jadi kuasa utama dunia di dalam sukan ini tetapi kini kita berada jauh di belakang Thailand,” katanya.

Mengulas dakwaan Ahmad yang Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak akan menubuhkan satu lagi badan pengawal sukan sepak takraw di negara ini selagi PSM masih wujud, Zolkples menegaskan bahawa PSM sudah tidak lagi relevan apabila ASTAF melucutkan keahlian daripada gabungan badan tersebut.

"Saya pun ada terfikir kenyataan dia bahawa PSM merupakan persatuan sukan tertua di negara kita, tapi apa gunanya apabila nama sudah menjadi terlalu busuk?

"Jadi adalah lebih baik sukan sepak takraw negara kita dibangunkan semula dengan atmosfera baharu, semangat baharu, orang baharu dengan nawaitu yang ikhlas untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan yang pernah kita kecapi dulu.

"Kita bangunkan semula sukan ini di semua peringkat dalam semua aspek seperti pembangunan akar umbi, pembangunan atlet muda, latihan pasukan kebangsaan, pembangunan kejurulatihan, pegawai teknikal dan pengadil. Kita juga perlu menyediakan pertandingan di semua peringkat bagi memberikan peluang pendedahan kepada atlet sepanjang tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Zolkples menggesa pihak bertanggungjawab terutamanya Pesuruhjaya Sukan (PJS) dapat mengambil tindakan segera dalam mengakhiri kemelut ini di dalam memastikan program dan aktiviti sukan sepak takraw tidak terbantut.

"Sukan sepak takraw merupakan sukan yang penting kepada kita, selain daripada sukan tradisi sukan ini sentiasa menjadi penyumbang pingat yang utama di pelbagai pertandingan antarabangsa.

"Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama dalam memastikan sukan ini sentiasa diberikan tumpuan utama dan bebas daripada sebarang isu dan masalah," katanya.