PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan Manchester City tidak akan mampu menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sekiranya mengalami krisis kecederaan sama seperti yang dilalui The Reds.
Menurutnya, Liverpool kurang bernasib baik musim ini ekoran krisis kecederaan yang dialami pasukan termasuk kehilangan pertahanan iaitu Virgil Van Dijk dan Joe Gomez.
"Memang City bagus, tetapi jika mereka kehilangan tiga pertahanan, mereka tidak akan menjadi juara liga.
"Untuk keseluruhan musim itulah yang berlaku. Musim ini anda tidak boleh senang-senang untuk membuang perkara negatif dan mengantikannya dengan perkara positif dan katakan bahawa kami sudah hampir untuk menang EPL.
"Hakikatnya, kami terpaksa bergelut untuk musim ini ekoran masalah kecederaan yang membelenggu pasukan," katanya.
Klopp turut menjelaskan bagaimana kehilangan pemain seperti van Dijk dan Gomez memberikan impak dalam mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi mereka musim lalu.
"Apabila kami kehilangan pemain pertahanan yang bagus, kami bagaikan patah kaki tetapi masih boleh menang perlawanan. Memang ia bukan seperti yang selalu kami hadapi dan kami lakukan, namun masih boleh menang dan jaringkan gol.
"Kami terpaksa menyesuaikan pasukan dengan beberapa keadaan seperti meletakkan pemain tengah di barisan pertahanan. Ia sesuatu yang sangat sukar dan memusnahkan taktikal asal pasukan. Memang kami mempunyai pemain muda di bahagian pertahanan, tetapi mereka belum bersedia.
"Sebab itu, kami terpaksa letakkan pemain tengah. Kami kehilangan rentak hampir di keseluruhan musim tetapi bukanlah setiap masa. Pasukan bola sepak adalah seperti orkestra di mana banyak orang bekerjasama dan jika anda kehilangan satu bahagian, anda mungkin masih boleh melakukannya, tetapi jika anda kehilangan dua maka ia menjadi sukar.
"Seperti yang saya katakan sebelumnya, tahun ini dengan jumlah kecederaan yang kami alami, ini bukan tahun untuk menjadi juara," katanya.