Letupan kereta: Imam 'lupakan' rumah, bergegas ke masjid

Iklan
Besi kubah didakwa jatuh ke bahagian ruangan solat akibat letupan kereta yang berlaku pada petang Jumaat.

KOTA BHARU - Walaupun siling rumahnya runtuh akibat letupan kenderaan pada petang Jumaat, namun Imam Muda Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh, Mohamad Zulhilmi Abdullah 'melupakan' seketika keadaan tersebut dan bergegas ke masjid untuk melihat jemaah yang masih ada di dalam masjid semasa kejadian berlaku.

Katanya, dengan perasaan takut bercampur bimbang, dia tetap keluar rumah walau hujan lebat untuk melihat apa yang berlaku, selain mahu memastikan keadaan jemaah di dalam masjid selamat.

Iklan
Iklan

Ketika kejadian jam 5.38 petang itu, imam muda berusia 37 tahun itu mengakui melihat ada kenderaan yang terbakar di hadapan pagar masjid berkenaan.

Mohamad Zulhilmi Abdullah

"Rumah saya hanya 10 meter dari masjid. Memang letupan berkenaan sangat kuat, anak saya di rumah pun terkejut dan menangis sebab siling jatuh.

Iklan

"Tapi saya abaikan sekejap, saya terus berlari keluar rumah dan masuk ke dalam masjid untuk lihat keadaan dalam masjid. Masa itu saya nampak ada kereta terbakar depan masjid.

"Jemaah yang ada hanyalah lima orang pegawai penjarakan sosial selepas solat Asar dan mereka sedang sibuk melakukan analisa kedatangan jemaah dan sebagainya.

Iklan

"Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan cuma besi kubah masjid jatuh ke kawasan ruangan solat. Memang mengejutkan kami memandangkan dentuman tersebut sangat kuat.

"Selepas itu baru kami buat pemeriksaan, cermin masjid pun banyak yang pecah, tandas pun rosak teruk dan banyak serpihan besi yang melantun masuk ke kawasan masjid," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Sabtu.

Kejadian berlaku di depan salah satu pintu masjid yang berada di depan Simpang Empat Kampung Sireh, Kota Bharu.

Masjid tersebut terletak di jalan utama Simpang Empat Kampung Sireh iaitu di mana lokasi seorang lelaki maut apabila tercampak sejauh 20 meter dari kenderaan yang meletup dan terbakar pada petang Jumaat.

Insiden tersebut melibatkan enam buah kenderaan manakala empat mangsa lain turut tercedera dan masing-masing sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (II), di sini.