Najib saran kerajaan kembalikan diskaun elektrik serta-merta

Iklan
Hantaran Najib di Facebook beliau pada Sabtu.

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan kerajaan mengembalikan diskaun elektrik serta-merta kepada rakyat ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi meredakan sedikit keadaan inflasi yang sedang menghimpit rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa ekonomi mantap dan pendapatan naik dengan kadar lebih tinggi, rakyat masih boleh bertahan dengan inflasi kerana adanya permintaan tinggi namun ketika ekonomi parah, ramai hilang kerja dan pendapatan berkurang, maka kadar inflasi tinggi memberi kesan amat parah kepada rakyat.

"Ini dikatakan keadaan 'stagflasi' iaitu keadaan paling tidak diingini mana-mana negara. Semalam (Jumaat), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) keluarkan kenyataan bahawa kadar inflasi bagi bulan April 2021 adalah 4.7 peratus iaitu paling tinggi sejak tahun 2018," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut Najib berkata, lebih menyedihkan apabila DOSM menjangkakan keadaan kadar inflasi tinggi tersebut akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2022.

"Sebab yang diberikan DOSM kenapa inflasi melonjak naik adalah harga minyak yang kembali tinggi selepas jatuh mendadak tahun lepas dan penamatan diskaun elektrik oleh kerajaan.

Iklan

"Kedua-dua faktor ini juga yang saya pernah saran kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk perbetulkan sejak tahun lepas," katanya.

Menurut Najib, beliau pernah meminta kerajaan meletakkan harga lantai (iaitu harga minimum) pada harga RM1.50 atau RM1.80 bagi harga minyak apabila harga minyak global menjunam pada Mac tahun lalu iaitu sehari sebelum PKP 1.0 bermula.

Katanya, saranan begitu disuarakannya ekoran sikap peniaga yang tidak akan turunkan harga barang apabila harga minyak turun, sebaliknya peniaga menaikkan harga dengan amat laju apabila harga minyak memulih sekali gus akan menyebabkan kadar inflasi melonjak.

"Tapi kerajaan PN tak layan masa itu. Pada akhir tahun lepas dan juga sekali lagi semasa Perdana Menteri Kelapan (PM8) umum pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), saya juga pernah saran bahawa diskaun elektrik yang tinggi tahun lepas tidak boleh ditarik balik sekali gus tetapi dikurangkan secara berperingkat.

"Tetapi, saranan ini sekali lagi tidak dihirau kerajaan. Akibatnya, rakyat biasa yang tengah bergelut dengan krisis Covid-19 pada ketika ini diseksa lagi dengan kenaikan mendadak harga barang dan harga makanan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama tahun depan," katanya.

Justeru Najib berkata, keadaan inflasi itu perlu diredakan kerajaan.

"Korang (kerajaan) suruh rakyat duduk kat rumah tapi tak beri diskaun elektrik. Bil pada akhir bulan mahu tak melonjak," kata beliau.