ALOR SETAR - Pas menzahirkan rasa kesyukuran susulan kemenangan rakyat Palestin dalam peperangan ‘Saif Al-Quds’ menentang Israel pada Jumaat.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Senator Ahmad Yahaya bagaimanapun berkata, pengumuman gencatan senjata oleh Benjamin Netanyahu dengan memberi alasan menerima pelawaan Mesir yang menganjurkan proses pendamaian disifatkan helah untuk menutup kelemahan Israel.
Menurutnya, pihaknya yakin Israel telah mengalami kekalahan yang memalukan dan menutup liputan media daripada melaporkan keadaan sebenar di bumi yang dijajahnya.
"Kekuatan rakyat Palestin yang ditindas melalui serangan berterusan oleh Briged Al-Qassam, Jihad Palestin dan beberapa kumpulan bersenjata membuktikan piala kemenangan datang dari ALLAH SWT, bukan daripada kehebatan senjata yang dibanggakan Zionis-Israel," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ahmad berkata, Pas Kedah yakin Israel dan negara-negara penyokongnya tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan berterusan melakukan provokasi untuk menjajah tanah suci umat Islam itu.
"Sehubungan itu, Pas Kedah berikrar akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin mempertahankan maruah agama Islam dari terus dibuli musuhnya," katanya.
Tambah beliau, sumbangan melalui derma jihad Palestin fasa dua akan diteruskan bagi membantu membina semua masjid, sekolah, kediaman dan infrastruktur awam di Gaza yang hancur akibat bedilan tentera Israel, agar pulih seperti sediakala, seterusnya menjana kekuatan ketenteraan baru yang digeruni Israel.
Pada Selasa, Ahmad mengumumkan kutipan dana bagi fasa pertama Tabung #Aid4Palestine di Kedah kini mencecah RM1.57 juta.
Sumbangan itu akan diserahkan kepada Pas Pusat untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.