Vaksin: Kerajaan disaran pertimbang laksana 'strategi tunda dos kedua'

Iklan

KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan mahu kerajaan mempertimbang pelaksanaan 'strategi tunda dos kedua' dalam menangani isu peningkatan kes Covid-19 dalam negara dengan mengambil kira kekangan bekalan vaksin.

Menurut kenyataan majlis itu pada Jumaat, semakin banyak negara menggunakan strategi tersebut termasuk Singapura dan India selepas digunakan oleh United Kingdom pada November 2020.

Iklan
Iklan

"Keutamaan kami pada saat ini mestilah untuk melindungi bilangan maksimum rakyat dalam jangka masa yang singkat ini,” katanya.

Majlis itu turut memetik penyelidikan terbaharu oleh University of Birmingham dengan kerjasama Public Health England yang mendapati pemberian vaksin Pfizer-BioNTech sebagai booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.

Iklan

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan harus menangani isu berkaitan perolehan atau sumbangan vaksin Covid-19 dengan berhati-hati, kerana vaksin kini adalah ‘sumber strategik’ penting dan melibatkan keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, keputusan kerajaan menolak sumbangan vaksin percuma kepada kerajaan Pulau Pinang daripada seorang individu adalah wajar, kerana individu itu enggan menunjukkan bukti sumbangan atau membuat sumbangan rasmi kepada Malaysia untuk diserahkan kepada negeri tersebut.

Iklan

"Menyumbang vaksin tentunya adalah perkara yang baik. Sumbangan ini dapat mengurangkan beban negara dan juga dapat mempercepat serta memberi manfaat kepada rakyat. Namun, para penderma atau syarikat perlu memberikan identiti dan maklumat yang lebih telus dan mencukupi,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian pada Sabtu.

Dominic juga meminta pemimpin parti kerajaan serta pembangkang mengetepikan agenda politik di saat negara berdepan peningkatan kes penularan Covid-19 yang membimbangkan ketika ini, termasuk tidak mempolitikkan isu pengisytiharan darurat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, yang hanya mengganggu emosi rakyat yang sedang berdepan dengan pandemik ini.

"Beberapa negara seperti Taiwan, Singapura, Jepun dan Thailand juga melaksanakan lockdown. Namun, setelah lockdown di negara-negara tersebut, rakyat di negara-negara ini tidak menyalahkan kerajaan, tapi bekerjasama dengan mematuhi dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memerangi wabak bersama,” katanya.

Beliau percaya dalam masa kritikal ini, pemimpin parti kerajaan dan pembangkang, profesional dari semua lapisan masyarakat dan rakyat harus berjuang bersama, menghormati keputusan kerajaan, mengikuti prosedur operasi standard (SOP) serta mempromosikan dan memberi lebih banyak berita dan maklumat positif.

Dalam pada itu, beliau berkata, Gerakan menawarkan penggunaan Dewan Wawasan di Menara PGRM, di sini sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara percuma sebagai usaha membantu kerajaan memudahkan pemberian vaksin. - Bernama