SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan kelancaran rantaian bekalan dan sekuriti makanan negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) pada kali ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia berdasarkan keputusan kerajaan mengetatkan PKP yang sedang berkuat kuasa untuk mengawal dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat.
Katanya, sektor pertanian dan industri makanan akan terus diletakkan sebagai satu perkhidmatan perlu dan dibenarkan beroperasi sepanjang masa dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu.
‘MAFI mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan golongan petani, nelayan dan penternak terus diberi kebenaran untuk beroperasi sepanjang PKP bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan.
"Kami juga mengambil pelbagai langkah dan usaha bagi memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan memastikan bekalan makanan bagi bahan makanan utama iaitu beras, daging, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan terus berada pada tahap stabil dan mencukupi.
Ronald turut mengingatkan kepada golongan petani, nelayan dan penternak serta pengusaha industri agromakanan supaya sentiasa mematuhi SOP serta menjaga keselamatan diri sepanjang masa.
"Kerajaan akan terus memastikan kebajikan barisan hadapan sektor agromakanan ini dipelihara dan diberi keutamaan,” katanya.
Tambah beliau, perkhidmatan bilik gerakan Crisis Management Centre (CMC) juga dibuka semula selaras dengan pelaksanaan PKP.
Menurutnya, ia berfungsi sebagai pusat utama penerimaan panggilan, pusat amaran awal, pusat arahan berpusat dan pusat pelaporan situasi harian untuk mendapatkan maklumat terkini setiap sektor serta industri.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 0388701491/1664 atau di http://mafi.spab.gov.my.