SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menegaskan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibuat seperti PKP 1.0, lebih dari sejuta orang akan menganggur.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lebih membimbangkan adalah pengangguran itu tidak sekata dan lebih tertumpu kepada golongan yang bekerja sendiri, belia, wanita serta mereka yang berkemahiran rendah.
"Di samping risiko pengangguran, 2.8 juta rakyat merangkumi golongan bekerja sendiri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro serta usahawan kecil akan lebih terjejas melalui pengurangan pendapatan.
"Purata isi rumah (di negara ini) mempunyai empat orang. Jika (satu juta) kehilangan pekerjaan bermakna empat juta tanggungan akan terjejas,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Sabtu.
Zafrul menambah, disebabkan itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP secara lebih bersasar terhadap jenis aktiviti yang dibenarkan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang lebih mendalam sejak wabak Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu.
"Alhamdulillah, kita dapat lihat kadar pengangguran pada bulan Mac 2021 terus menurun kepada 4.7 peratus.
"Satu lagi perbezaan berbanding Mac 2020 adalah dengan apa yang telah dipelajari dalam satu tahun lepas, prosedur operasi standard (SOP) terutama di tempat kerja dan perniagaan telah dibangunkan serta ditambah baik supaya lebih efektif dalam mengawal penularan kes,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa negara ini masih lagi jauh daripada kadar pengangguran sebelum wabak Covid-19 melanda negara iaitu 3.2 peratus yang dicatatkan pada tahun 2019.
"Berdasarkan maklumat ini, amatlah penting bagi sektor ekonomi untuk terus beroperasi supaya pintu rezeki rakyat terus terbuka terutama dalam mencari nafkah bagi diri dan keluarga,” katanya.
Zafrul menambah, daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) juga menunjukkan bahawa lebih dari RM57 bilion telah dikeluarkan oleh 6.4 juta ahli melalui iSinar manakala RM20.8 bilion dikeluarkan oleh 5.3 juta ahli melalui iLestari.
"Ini jelas dan nyata bahawa rakyat amat terkesan akibat penutupan ekonomi dan terpaksa mengorbankan simpanan masa depan hanya untuk bertahan hari ini.
"Apa yang lebih merisaukan adalah hampir 2.6 juta pencarum KWSP atau 17 peratus mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 dalam Akaun 1 mereka,” katanya.
Beliau berkata, dengan pembukaan ekonomi, peluang pekerjaan akan dapat dicipta dan dipermudahkan serta berkemungkinan besar membantu golongan itu untuk membina semula simpanan hari tua mereka.
"Kita juga perlu mengambil kira mengenai kos sosial lain yang mungkin timbul jika kita melaksanakan PKP 1.0 sekali lagi.
"Apakah nasib rakyat apabila ketua isi rumah tidak mempunyai punca pendapatan untuk menyara hidup keluarganya?” kata beliau.
Menurutnya, perkara seperti itu telah menyebabkan masalah sosial lain seperti peningkatan kes tekanan mental dan keganasan rumah tangga sepanjang tempoh PKP.
Sementara itu, Zafrul berkata, Kementerian Kewangan juga bersetuju meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta menjadikan peruntukan untuk keperluan kesihatan awam berkaitan Covid-19 meningkat kepada RM1 bilion.
"Walaupun dengan jumlah peruntukan baharu RM1 bilion ini, Kementerian Kewangan akan terus memantau keadaan dan berurusan dengan Kementerian Kesihatan serta kementerian berkaitan jika memerlukan sumber tambahan.
"Kerajaan tidak akan berkompromi berhubung dengan isu nyawa dan keutamaan akan terus diberikan bagi menyokong sistem kesihatan awam terutama pada masa krisis Covid-19 ini,” katanya.
Lebih sejuta menganggur jika 'total lockdown'
Iklan