KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Operasi Carilamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang memasuki hari ketiga berjaya menemui mayat kedua nelayan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Terengganu pada Rabu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mayat dipercayai Ja’afar Sulong, 66, ditemui terapung oleh nelayan tempatan pada jam 10 pagi.
Menurutnya, mayat mangsa dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu dijumpai bot nelayan tempatan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat di sekitar 4.7 batu nautika berhampiran Pulau Kapas.
"Lokasinya berhampiran dengan penemuan mayat rakannya (Baharuddin Abdullah) semalam.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu dan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi proses pengecaman dan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Muhammad Suffi berkata, pihaknya kini meneruskan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi pemancing, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang disyaki hilang pada hari sama.
"Sektor pencarian hari ini diperluaskan meliputi 492.72 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Kuala Terengganu hingga ke Marang," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan yang berlaku di perairan Kuala Terengganu pada Rabu dan Khamis.
Kejadian pertama melibatkan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A dikendalikan Jaafar Sulong, 66 (tekong) dan kru, Baharuddin Abdullah, 47, dikhuatiri mengalami kerosakan di perairan Kuala Terengganu sejak Rabu.
Dalam kejadian kedua, seorang lagi nelayan, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, disyaki hilang di laut setelah bot mangsa ditemui nelayan tempatan pada kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Mayat Baharudin kemudian ditemukan terapung pada jarak 17 batu nautika dari Pulau Kapas ketika operasi mencari dan menyelamat kira-kira jam 1 tengah hari, pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan
Mayat ditemukan terapung dipercayai nelayan hilang
Kawasan Ops Carilamat dua nelayan hilang diperluas