SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan perancangan jangka panjang bagi mengawal penularan wabak Covid-19 kerana dilihat usaha yang dilakukan kini terbukti tidak berkesan.
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dalam kenyataan berkata, seramai 3.6 juta pekerja berada di dalam industri perhotelan sedang dipertaruhkan disebabkan kerugian yang ditanggung.
Kata persatuan itu, industri tersebut menghadapi kerugian sebanyak RM5 bilion bermula awal 2021 sehingga kini menjadikan jumlah tersebut lebih teruk berbanding sepanjang 2020 iaitu RM6.53 bilion.
"Industri pelancongan dan perhotelan kehilangan lebih daripada 80 peratus perniagaannya walaupun terdapat pelancongan domestik jangka pendek antara bulan Jun hingga September 2020.
"Kerajaan perlu memahami bahawa selagi sekatan perjalanan berlaku dan kedua-dua sempadan domestik dan antarabangsa ditutup, industri pelancongan serta hotel tidak akan bertahan. Kerajaan tidak boleh menutup mata,” menurut kenyataan persatuan itu pada Sabtu.
MAH turut memaklumkan, kerajaan perlu menerapkan langkah-langkah lebih ketat dan lebih efektif iaitu penutupan sepenuhnya seperti PKP tahun lalu bagi mengurangkan penyebaran dengan cepat.
Kata kenyataan itu lagi, mengehadkan kehadiran di tempat kerja dan waktu operasi sektor ekonomi tidak akan menjadi efektif.
"Industri pelancongan dan hotel boleh dikatakan salah satu industri paling berpengaruh dan hingga kini belum ada tanda-tanda pemulihan. Ia tidak lagi dapat bertahan, kelangsungan hidupnya sangat bergantung pada kawalan penyebaran.
"Industri ini memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan dengan keadaan kini yang semakin buruk dan berpanjangan.
"Hotel dan pihak berkepentingan tidak akan mempunyai pilihan lain selain menutup operasi. Pengakhiran industri pelancongan Malaysia seperti yang kita ketahui semakin dekat,” menurut kenyataan itu.