Jangan benarkan ahli politik rentas negeri: Pakar Kesihatan Awam

Iklan
Dr Syed Mohamed Aljunid

SHAH ALAM - Penguatkuasaan perlu diperketatkan termasuk tidak membenarkan ahli politik untuk merentas negeri bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut laporan Astro Awani, Pakar Kesihatan Awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, pergerakan yang dilakukan oleh ahli politik bersama pegawainya itu berpotensi untuk menyebarkan wabak tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelonggaran rentas negeri dilihat berlaku ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ini satu perkara pokok kita dapati apa yang berlaku pada PKP 2.0 dan 3.0. Ada banyak pengecualian dibenarkan misalnya dibenarkan rentas negeri kepada golongan tertentu khususnya ahli politik, ahli Parlimen.

Iklan

"Apabila mereka bergerak, mereka bawa satu pasukan, ini jelas kita lihat kumpulan (yang) terlibat tidak mematuhi SOP.

"Kenapa diberikan pengecualian begitu? Saya pun hairan. Ia menyebabkan kelemahan PKP, nampak kita tidak jalankan satu tindakan saksama, jadi timbul golongan kayangan dan sebagainya," katanya pada Sabtu.

Iklan

Beliau menegaskan, penguatkuasaan lebih efektif dan ketat serta adil akan membuahkan hasil khususnya apabila pergerakan rentas negeri dikurangkan.

Mengulas lanjut, katanya, sudah tiba masanya kerjasama secara lebih komprehensif dijalinkan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam membendung penularan Covid-19 bagi melaksanakan saringan secara besar-besaran.

Kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan sekiranya saringan secara besar-besaran itu dilakukan.

"Bagaimanapun saringan besar-besaran serta kerjasama di antara kerajaan negeri dan pusat memerlukan ‘political will’ agar kemenangan menentang Covid-19 berpihak kepada negara.

"KKM harus bekerjasama dan dapatkan bantuan daripada sektor lain terutama kerajaan negeri untuk memobilisasikan penduduk tempatan dan kakitangan di dalam kerajaan negeri bantu dalam proses ujian ini," katanya lagi.

Dr Syed Mohamad berkata, konsep sentralisasi yang diambil oleh Indonesia perlu dijadikan contoh di negara ini terutama dalam melibatkan kementerian dan agensi kerajaan lain dalam membantu KKM bagi memastikan negara berjaya menentang wabak Covid-19.

"Apa yang perlu kita lakukan, kita perluaskan usaha mengawal Covid-19. Bukan tumpu pada satu kementerian sahaja khususnya KKM dengan staf tidak cukup.

"Begitu juga negara China, mempunyai pemerintahan berpusat tetapi aktiviti kesihatannya diberikan kepada wilayah untuk melakukan aktiviti ini.

"Oleh itu, kita boleh melakukan mobilisasi daripada sumber-sumber manusia ada di daerah membantu staf KKM melakukan aktivitinya," katanya.