MEF gesa majikan laksanakan SOP tegas

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menggesa majikan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu sebanyak 40 peratus pekerja sektor swasta perlu bekerja dari rumah dan memendekkan waktu perniagaan.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, perkara tersebut menjadi tanggungjawab majikan bagi memastikan SOP dipatuhi untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

Iklan
Iklan

"Apabila tren menunjukkan peningkatan berkemungkinan kerajaan pertimbangkan untuk mengetatkan lagi SOP. Jadi, perkara ini semua berpihak pada kita. Mari kita bekerjasama untuk menjayakannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah melibatkan 750,000 pekerja dan perincian bagi perkara ini akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Iklan

Selain itu, menurut Ismail Sabri, jumlah pekerja sektor swasta yang hadir di pejabat juga akan dikurangkan sebanyak 40 peratus iaitu melibatkan 6.1 juta pekerja.

Ismail Sabri menambah, operasi perniagaan bagi pusat membeli belah, restoran, kedai runcit, dobi dan kedai gunting rambut akan hanya dibenarkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Iklan

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, kerajaan diharapkan dapat memberi garis panduan yang fleksibel kepada pekerjaan di sektor swasta seperti produksi yang tidak dapat dilakukan dari rumah.

Tegasnya, majikan harus menekankan kepada pekerja agar tidak menyalahgunakan permit pekerja, malahan tindakan tatatertib boleh diambil sekiranya ketidakpatuhan terhadap SOP di premis kerja berlaku.