GEORGETOWN - Amat memalukan dan menjatuhkan maruah Pulau Pinang apabila kerajaan negeri terperdaya dan menjadi mangsa scam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, apa yang terjadi memperlihatkan kelemahan kerajaan negeri dalam mengendalikan perkara ini sehingga menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang tidak wujud.
Menurutnya, alasan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kononnya Ketua Setiausaha KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tidak memaklumkan status syarikat tersebut juga amat dangkal dan cuba untuk menutup kelemahan sendiri.
"Persoalannya, mengapa kerajaan negeri langsung tidak menyiasat latar belakang syarikat tersebut sebelum menghantar permohonan kepada KKM dan mengapa tidak melakukan semakan dengan pihak Sinovac atau pemegang lesennya di Malaysia iaitu Pharmaniaga berkaitan kesahihan tawaran tersebut?
"Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh menyiasat hingga mendapat penjelasan daripada pegawai jualan antarabangsa Sinovac kenapa kerajaan negeri yang kononnya cekap gagal mengesan dari awal perbuatan tidak bertanggungjawab ini?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Zulkifki berkata, sebagai ADUN Pulau Pinang, dia merasa amat terkejut kerana apabila kerajaan DAP Pulau Pinang yang dikatakan kerajaan paling bagus di negara ini boleh diperbodohkan sedemikian rupa.
Katanya, belum pernah terjadi sebuah kerajaan menjadi mangsa scam dan ia sangat memalukan kerana membiarkan maruah sebuah negeri ini tercalar dengan mempercayai syarikat palsu.
Sementara itu, Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Norliza Abd Rahim berkata, kelalaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam isu sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 bukan sahaja mencerminkan pentadbiran lemah malah mengecewakan seluruh rakyat di negeri tersebut.
Norliza berkata, Ketua Menteri negeri berkenaan, Chow Kon Yeow yang menuntut kerajaan Pusat meluluskan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 oleh sebuah syarikat swasta dalam satu sidang akhbar pada Selasa lalu seperti memberi harapan palsu kepada rakyat.
"Kegagalan kerajaan negeri mendapatkan data terperinci syarikat swasta terbabit sangat mendukacitakan kerana jelas menunjukkan pengurusan tidak cekap sehingga menjadi mangsa scam.
"Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilihat lantang mengkritik kerajaan Pusat namun tidak sedar mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Norliza berkata, permohonan maaf yang dibuat Kon Yeow pada Jumaat masih tidak cukup atau menamatkan isu tersebut berikutan terdapat banyak persoalan timbul dalam kontroversi itu.