KEJAYAAN pemain muda negara yang merangkul dua kejuaraan pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Slovenia 2021 di Dras Centre, Maribor pada Sabtu menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Reezal Merican menyifatkan kejayaan diraih pasangan beregu campuran Choong Hon Jian-Toh Ee Wei dan beregu wanita Low Yeen Yuan-Valeree Siow sebagai pencapaian besar mereka yang baru sahaja memulakan pengembaraan sebagai pemain senior tahun ini.
Iklan
Iklan
Malah Reezal Merican pada masa sama meminta mereka untuk terus berusaha bagi mengekalkan prestasi cemerlang yang dilakar di bumi Eropah itu.
"Tahniah kepada Choong Hon Jian dan Toh Ee Wei serta Low Yeen Yuan dan Valeree Siow yang telah menjuarai kategori masing-masing awal pagi tadi. Malaysia is proud of you!,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik pada laman Facebook, Twitter dan Instagram pada Ahad.
Pasangan muda berusia 20 tahun, Hon Jian-Ee Wei muncul juara beregu campuran selepas menewaskan pemain Indonesia, Muh Erwiansyah-Sofy Asharunnisa 21-18, 21-18 dalam pertarungan selama 32 minit.
Yeen Yuan-Valeree Siow, kedua-duanya berusia 19 tahun dan turun sebagai pasangan bukan pilihan, mengungguli kategori beregu wanita selepas mengejutkan pasangan pilihan ketiga Isabella Nielsen-Marie Steffensen dari Denmark 21-11, 21-15 untuk mengecap kejuaraan antarabangsa pertama mereka.
Artikel Berkaitan