SHAH ALAM - Pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca buat warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menetap di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor dibuka bermula Ahad.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menurut Seksyen 6 Ordinan (Kuasa-kuasa perlu) 2021, dalam tempoh darurat Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana orang untuk mengeluarkan arahan rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan.
"Arahan ini dikeluarkan oleh orang yang diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan pusingan kedua tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca secara sukarela khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas akan dibuka bermula 23 hingga 26 Mei ini.
Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui http://vaksincovid.gov.my bermula 12 tengah hari, 23 Mei, demikian menurut ciapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi akaun Twitternya.
Beliau berkata, fasa kedua tempahan itu juga memberi keutamaan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu selepas mendaftar ketika pusingan pertama tempahan vaksin secara sukarela.
Malaysia dijangka menerima 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca pada akhir bulan ini melalui kemudahan pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (Covax).