KEPALA BATAS - Seramai 11 individu termasuk dua wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti judi loteri awam haram tanpa lesen dan judi dalam talian.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu Bersepadu yang dilakukan di 10 premis di kawasan Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor dan Kepala Batas di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, dalam serbuan yang dilakukan bermula jam 12 tengah hari hingga 6.35 petang itu, pihaknya merampas pelbagai peralatan yang digunakan mereka untuk menjalankan kegiatan haram berkenaan.
"Antara yang dirampas empat batang pen, tiga buah kalkulator, 13 keping slip kertas bercetak angka-angka tertera tulisan disyaki judi loteri awam haram, lima buah mesin pencetak mudah alih serta 10 buah telefon bimbit pelbagai jenama di dalamnya terpapar aplikasi yang menunjukkan kegiatan tambah nilai perjudian online.
"Selain itu turut dirampas sebuah 'mobile data printer', buku catitan, alat tulis dan kita turut menyita sebuah kereta dan sejumlah wang tunai bercampur-campur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Noorzainy berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 60 tahun itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis turut mendapatkan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat pemotongan bekalan elektrik ke atas semua premis-premis yang diserbu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.
Jelasnya, tindakan itu bagi memastikan aktiviti judi khususnya judi loteri awam dan kegiatan perjudian online ini dapat dibanteras secara berterusan sepenuhnya.
"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan siasatan lanjut masih dilakukan.
"Pihak polis menyeru orang awam agar turut membantu dengan sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti perjudian haram melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) ataupun menghubungi pihak polis IPD SPU di talian 04 – 5762222," katanya.