Dana RM114 juta: Sudah banyak kali saya jelaskan, kata Najib

Iklan
Najib

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak sekali kali menegaskan bahawa wang sebanyak RM114 juta yang dirampas adalah sumbangan kepada BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, walaupun sudah memberi jawapan kepada persoalan itu, namun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus mendakwa wang itu datangnya daripada 1Malaysian Development Bhd (1MDB).

Iklan
Iklan

"Dia (Dr Mahathir) tanya dana RM114 juta itu datang dari mana jika bukan dari 1MDB, walaupun saya entah berapa kali sudah menjelaskan.

"Tun (Dr Mahathir) fikir polis tidak tanya soalan itu ketika saya disiasat? Wang itu dipindahkan dari peti-peti besi amat besar di Pejabat Perdana Menteri pada malam BN kalah pada PRU14.

Iklan

"Tun bukan tak tahu. Sebab Tun yang bina peti-peti besi ini untuk tujuan sama. Jadi Tun, kenapa kamu bina peti-peti besi itu? Untuk simpan apa, ya? Wang itu adalah sumbangan untuk PRU14 kepada parti BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Khamis lalu, media melaporkan bahawa kerajaan gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta didakwa milik Najib dan UMNO yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.

Iklan

Mengulas lanjut, Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata, ketika siasatan terhadap kes berkenaan, polis ada bertanya siapa penyumbang dana tersebut dan beliau telah menjawab bahawa ia adalah VVIP yang amat terkenal.

Menurutnya, senarai nama penyumbang juga telah diberikan kepada polis dan mereka turut dipanggil memberi keterangan.

Sebab itu, katanya, polis dan pendakwa raya tidak dapat membuktikan ia adalah sumber haram selepas tiga tahun siasatan dijalankan, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah cuba sedaya-upaya untuk mengaitkan dana tersebut dengan hasil jenayah.

"Paling sedih apabila geng Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dahulu menuduh dan buat laporan polis bahawa dana itu adalah hasil 1MDB, sudah tukar cerita.

"Sekarang mereka mengeluarkan kenyataan untuk suruh saya menderma dana tersebut kepada Palestin atau peniaga kecil pula, tanpa sebarang permohonan maaf walaupun pernah fitnah saya," katanya.

Najib menjelaskan bahawa wang itu adalah sumbangan dana politik dan bukan wang miliknya dan kerana itu ia tidak boleh dicukai atau dituntut kerajaan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kerajaan merampas duit itu amat laju dan menyimpannya untuk tiga tahun. Ia suatu tempoh lebih lama berbanding tempoh satu tahun maksimum diberikan kepada kerajaan untuk menyimpan harta sekiranya tidak mendakwa ia sebagai hasil jenayah," katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, kerajaan mengenakan saman sivil pula supaya boleh mengelak mengembalikan duit itu kepadanya.

"Sekarang kerajaan sudah kalah dalam mahkamah untuk saman sivil ini, tapi masih belum mengembalikannya. Siapa yang nak bayar ganti rugi? Faedah ke atas dana untuk tiga tahun itu sudah berapa?” soal beliau.

Menurutnya, seperti dijelaskan dalam kes mahkamah, sekurang-kurangnya sebanyak RM642 juta itu adalah sumbangan daripada Arab Saudi termasuk dipindahkan dari akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Bagaimanapun, Najib berkata, dalam mahkamah membuktikan bahawa 99.9 peratus dana yang beliau terima itu telah digunakan untuk kerja aktiviti tanggungjawab sosial korporat, sedekah dan parti politik, namun bukan untuk kegunaan peribadi.

"Ya, ‘perompak’ ini terima dana percuma daripada sumber asing untuk digunakan sesuka hati tapi digunakan untuk kerja kebajikan termasuk menderma kepada semua masjid dalam negara serta bantuan besar kejadian banjir untuk empat tahun berturut-turut.

"Termasuk juga untuk menolong balu, menghantar umat Islam menunaikan haji, menyokong pendidikan kanak-kanak kurang bernasib baik, berpuluh kereta dan van untuk kerja badan bukan kerajaan (NGO), mengadakan majlis keagamaan, perpaduan dan sebagainya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan gagal lucut wang RM114 juta milik Najib, UMNO