Usah buang masa di media sosial

Iklan
Pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE.

PEMAIN Harimau Malaya diingatkan agar tidak menghabiskan masa dengan media sosial, namun harus kekal fokus dengan misi penting dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Pemain tengah, Muhamad Nor Azam Abdul Azih mendedahkan peringatan itu dilontarkan oleh ketua jurulatih Tan Cheng Hoe kerana dikhuatiri mampu mengganggu mental dan fizikal anak buahnya.

Iklan
Iklan

"Coach (jurulatih) selalu pesan jangan layan komen negatif, jangan bermain media sosial terlalu banyak sampai ganggu mental fizikal,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Baru-baru ini, netizen mempersoalkan gambar pemain sebuah kelab Liga Super yang turut diwakili beberapa pemain kebangsaan dalam sebuah majlis makan malam dan didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

Selain itu, netizen juga mempersoalkan tindakan seorang pemain naturalisasi kebangsaan yang memuat naik gambar pertemuan bersama bekas bintang bola sepak terkemuka dunia di Dubai, UAE.

Difahamkan, pemain berkenaan perlu mematuhi SOP dengan tidak bertemu individu lain dan mengamalkan langkah keselamatan tinggi bagi membendung jangkitan Covid-19 selepas tiba di UAE.

Iklan

Ditanya siapa yang layak menggantikan Brendan Gan selepas digantung perlawanan menentang UAE ekoran mengumpul dua kad kuning sebelum ini, Muhamad Nor Azam berkata pemain tengah seperti Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Mohamed Syamer Kutty Abba mempunyai potensi menggalas tugas di bahagian tengah itu.

Untuk rekod, Brendan yang juga pemain Selangor FC dilihat kerap digandingkan dengan Muhammad Nor Azam, dalam lima aksi peringkat kumpulan kelayakan sebelum ini dan membuktikan kombinasi mereka di bahagian tengah cukup menyerlah selepas berjaya membantu skuad kebangsaan menundukkan Indonesia dua kali serta Thailand.

Sementara itu, beliau pada masa sama berazam mahu menampilkan persembahan terbaik sekiranya mendapat kepercayaan daripada Cheng Hoe untuk diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Kuwait malam ini mahupun saingan kelayakan nanti.

Selepas aksi persahabatan berdepan Kuwait di Dubai, skuad kebangsaan akan berdepan satu lagi perlawanan pemanas badan menentang Bahrain di Manama pada 28 Mei.

Malaysia akan menghadapi baki perlawanan kelayakan Kumpulan G dengan menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).