Palestin di bawah Hamas, Fatah

Iklan

SEJAK sekian lama tanah Palestin diperintahkan oleh sebuah kerajaan iaitu Fatah (Pertubuhan Pembebasan Palestin).

Namun pada akhirnya Hamas mendapat mandat rakyat melalui pilihan raya pada tahun 2006 untuk memerintah dengan menguasai Genting Gaza, dan Fatah menguasai Tebing Barat.

Iklan
Iklan

Dalam politik, adalah menjadi perkara biasa bahawa Hamas dan Fatah mempunyai kaedah dan pendekatan masing-masing dalam mencapai matlamat perjuangan mereka.

Tetapi apabila kedua-dua belah pihak bertindak secara bersendirian dalam menangani situasi yang amat sukar ini, tambahan pula dalam menghadapi musuh bersama yang amat bijak dan berkuasa tinggi, maka kedua-dua pihak ini mengalami masalah.

Iklan

Israel tahu bahawa kerajaan Palestin berpecah-belah dan mereka pun mengetahui bahawa kerajaan itu ibarat retak yang sedang menanti belah, maka mereka pun mengambil kesempatan mencari jalan melaga-lagakan sesama pucuk pimpinan dan rakyat Palestin.

Lalu berlakulah pertelagahan yang agak serius antara pimpinan politik yang berbeza itu, dan hal ini juga membawa kepada perpecahan kerajaan Arab dan Islam sendiri dalam isu Palestin dan politik antarabangsa.

Iklan

Sementara itu, kerajaan rejim Yahudi Israel menyedari bahawa kerajaan mereka adalah amat kebal dan disokong kuat pula oleh gerakan zionis antarabangsa, juga kuasa besar Amerika Syarikat dan beberapa negara dalam Kesatuan Eropah, terutamanya menjelang awal tahun 2016.

Saya masih ingat akan satu usaha damai yang cuba dilakukan Raja Arab Saudi, Al-Marhum Raja Abdullah, pada tahun 2007 antara Fatah dan Hamas, iaitu ketika saya berkhidmat di sana sebagai Duta Malaysia di Arab Saudi.

Raja Abdullah telah menjemput kedua-dua pihak yang bertelagah ini menghadap baginda di istana yang berdepan dengan Kaabah untuk berjanji bagi menyelesaikan masalah mereka dan berjuang sebagai satu barisan menentang musuh bersama.

Tetapi janji depan ALLAH dan Kaabah dengan disaksikan Raja Abdullah, akhirnya berkecai, lalu terjadi kembali perbezaan ideologi politik antara Hamas dan Fatah serta berlaku pecat-memecat, sehingga Presiden Abbas telah bertindak melantik Perdana Menteri Palestin yang baru dan berakhir dengan kehadiran dua orang Perdana Menteri yang menguasai Palestin iaitu di Gaza dan Tebing Barat.

Israel sebelum ini iaitu sejak Hamas dipilih memerintah, telah bertindak memindahkan rakyatnya dari Gaza dengan penuh drama, dengan teriak tangis penduduk Israel yang telah sekian lama menghuni Gaza, dan dengan kekerasan pula mereka dipindahkan.

Lakonan ini dilakukan Israel dengan motif yang amat jahat iaitu untuk menjadikan Gaza sebagai penjara besar umat Palestin, dikelilingi wilayah musuh, iaitu bumi Israel, malah kuasa udara dan laut dikuasai sepenuhnya oleh tentera Israel.

Sempadan dengan Mesir pula akan sentiasa dikawal agar tidak dibuka bagi orang Palestin melintasinya.

Israel sering menjustifikasikan tindakan mereka menyerang Gaza secara besar-besaran dengan tujuan untuk memberhentikan ‘serangan’ roket yang dilepaskan oleh Hamas ke wilayah mereka, walaupun roket Hamas hanya menggegarkan beberapa buah rumah yang jauh dari Tel Aviv.

Lantang

Negara Islam seperti Malaysia yang agak bebas dan lantang bersuara ini haruslah berusaha mengambil langkah yang lebih bijaksana dalam menangani isu Palestin, khususnya kemuliaan tanah keagungan Islam, Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Perjuangan ini bukan hanya boleh dilakukan dengan semangat dan emosi yang meluap-luap, tetapi haruslah dengan kekuatan yang menyeluruh.

Pada tahun 2019, kerajaan Malaysia dengan usaha Perdana Menteri ketika itu telah mulai mengambil langkah dengan menganjurkan satu mini Persidangan Kemuncak dengan dihadiri oleh ketua negara Turki, Iran dan Qatar, serta pemerhati dari beberapa buah negara Islam dengan mengambil beberapa resolusi untuk kekuatan negara-negara Islam yang agak bebas itu dalam kepelbagaian bidang.

Mungkin dengan perkembangan terkini yang amat kritikal dan mencabar demokrasi dunia umumnya, hal ini boleh diusahakan lagi.

Saya juga pernah mendengar pandangan sebahagian ahli diplomat di Riyadh bahawa mereka melihat Malaysia dan Turki sebagai dua negara Islam yang dinamik dan maju, juga sebagai negara contoh untuk negara Islam berbilang kaum yang istimewa.

Malaysia masih berkesempatan memainkan peranan yang suci ini terutamanya dalam bidang politik, ekonomi, ilmu pengetahuan dan pertahanan Islam sendiri.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia