KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menggunakan atau tidak kereta Honda Civic model Type R.
Pengarah Jabatan Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (Start) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa berkata, kenderaan yang tular di media sosial itu adalah diberikan Honda Malaysia sebagai pinjaman untuk tujuan pandu uji antara tiga ke enam bulan.
"Mungkin untuk pandu uji sahaja. Itu pun kita tidak putuskan lagi dan hanya sebagai untuk mengemukakan cadangan sahaja.
"Buat masa ini belum ada keputusan tempoh penggunaan dan sebagainya. Kalau untuk tempoh cubaan akan ada tempoh dan kita hendak tengok kesesuaiannya dari segi teknikal dan sebagainya dahulu.
"Syarikat itu baru hantar cadangan dan tiada hitam putih lagi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Hari ini, beberapa keping gambar menunjukkan dua kereta model Honda Civic Type R tular di media sosial Facebook yang didakwa bakal digunakan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jentera yang juga mendapat jolokan nama FK8R ini dikuasakan enjin 2.0 liter VTEC pengecaj turbo yang menjanjikan kuasa maksimum 310PS pada 6,500 rpm, manakala tork maksimum pula hingga 400Nm pada 2,500 rpm hingga 4,500 rpm.
Model terbaru keluaran Honda dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini untuk menawarkan semangat perlumbaan DNA Honda.
Difahamkan, setakat ini terdapat dua unit kenderaan berkenaan untuk tujuan itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.