DALIAN - Lima pejalan kaki yang sedang melintas jalan maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju dalam kejadian di bandar Dalian, China pada Sabtu.
Suspek lelaki berusia 32 tahun yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran itu bagaimanapun berjaya ditahan, lapor SCMP.
Siasatan awal polis mendapati suspek yang hanya dikenali sebagai Liu bertindak demikian kerana kecewa pelaburannya gagal dan ingin 'membalas dendam terhadap masyarakat'.
Rakaman CCTV dan telefon bimbit kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta sedan hitam memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan.
Menurut kenyataan polis, Liu, yang bekerja sebagai pendandan rambut, telah melanggar lampu merah dan memecut dengan kelajuan 108 kilometer sejam dalam tujuh saat sebelum merempuh kumpulan pejalan kaki itu.
Setelah merempuh pejalan kaki, Liu melarikan diri di dalam keretanya sebelum bertembung dengan van di sebuah persimpangan.
Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, tetapi berjaya ditangkap polis kira-kira jam 1 tengah hari.
"Suspek tidak dapat menerima kegagalan pelaburan peribadinya dan kehilangan kepercayaan dalam hidup, jadi dia membalas dendam kepada masyarakat," kata jurucakap polis.
Empat mangsa mati di tempat kejadian dan mangsa kelima meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital.
Lima yang lain cedera dalam kejadian itu, kata polis.
Wakil ketua polis Dalian, Qu Bo pada Ahad berkata suspek telah ditahan atas tuduhan"membahayakan keselamatan awam".
Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum mati. - Awani