KUALA LUMPUR -"Sepanjang hidup saya takkan lupakan malam 1 Mei lalu. Malam itu saya bertarung nyawa dengan virus Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU). Degupan jantung saya jatuh sehingga 40 denyutan seminit setiap 30 minit ketika diberi bantuan pernafasan. Itu kiranya paras bahaya. Paras normal 60-100 degupan seminit."
Begitulah pengalaman yang disifatkan sebagai 'ngeri' oleh Eksekutif Jualan, Toh Sharon, 48, sepanjang beliau menjalani rawatan intensif Covid-19 selama 20 hari di Hospital Melaka.
Ibu kepada dua orang anak berusia 22 dan 25 tahun itu, tidak sesekali pun menyangka begitu hebat penangan virus Covid-19 yang menyerang dirinya sehingga terpaksa bertarung nyawa dengan bantuan mesin pernafasan sebagai pesakit tahap empat.
"Saya masih ingat lagi apa yang berlaku pada malam itu. Walaupun badan saya penuh dipasang dengan tiub bantuan pernafasan yang disambung ke tangki oksigen, antara sedar dan tidak sedar saya masih berasa sangat sukar untuk bernafas seolah-olah hampir putus nyawa.
"Mujurlah saya cekal untuk melawan dan terus kuat meneruskan perjuangan untuk hidup sehinggalah paras oksigen dalam badan saya semakin pulih dengan bantuan barisan petugas hadapan," kongsi Toh dengan Bernama baru-baru ini.
Semuanya bermula apabila beliau makan malam dengan seorang rakan di sebuah restoran di Melaka pada 18 April lalu, dan kemudiannya dimaklumkan statusnya sebagai kontak rapat kepada rakannya yang disahkan positif Covid-19 tiga hari selepas itu.
"Pada malam itu saya berkongsi makanan bersama dengan rakan saya. Pada 21 April saya dimaklumkan bahawa dia positif Covid-19 dan saya pula kontak rapat dia.
"Saya kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri daripada anak lelaki saya meskipun saya belum lagi membuat ujian calitan Covid-19 di mana-mana klinik," katanya.
Toh yang berasal dari Bandaraya Melaka itu kemudiannya hadir ke klinik kesihatan untuk membuat ujian calit Covid-19 bersama-sama dengan anak lelakinya pada 22 April lalu dan kemudiannya disahkan positif.
"Syukur pada ketika itu anak lelaki saya disahkan negatif. Sebenarnya sehari sebelum ujian calitan itu, saya mula mengalami gejala demam, sakit tekak, selesema, cirit birit dan sakit-sakit sengal sehingga sukar untuk bangun dari tidur.
"Saya dipakai gelang merah jambu, diarah untuk terus kuarantin di rumah dan menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin MAEPS di Serdang, Selangor," katanya.
Malang tidak berbau
Ketika Toh sedang menunggu giliran untuk dipindahkan ke pusat kuarantin di Hospital Melaka pada 25 April lalu, beliau dimaklumkan oleh petugas kesihatan bahawa kandungan oksigen dalam badannya kurang daripada 88 peratus dan terpaksa dimasukkan ke ICU untuk pemantauan setelah menjalani pemeriksaan.
"Kandungan oksigen normal adalah 95 peratus ke atas, ketika itu saya pun terpinga-pinga dan mengikut sahaja arahan petugas kesihatan untuk ke ICU Hospital Melaka, namun pada malam itu suhu badan saya naik mendadak sehingga 39.6 darjah celsius dan terus tidak sedarkan diri.
"Keesokan harinya baru saya sedar dan ketika itu, badan saya penuh dengan tiub bantuan pernafasan, dalam keadaan terpinga-pinga doktor memberitahu saya bahawa seluruh paru-paru saya dijangkiti virus berdasarkan laporan X-ray," katanya.
Menurut Toh, beliau diberi pilihan untuk mengambil ubat antiviral Favipiravir selama lima hari bagi membantu memulihkan keadaan paru-parunya.
Beliau turut diberitahu akan kesan sampingannya serta pengambilannya masih dalam fasa klinikal.
Namun, tanpa berasa ragu, beliau terus bersetuju untuk mengambil ubat antiviral berkenaan dan keadaannya dipantau dari masa ke masa.
"Sepanjang pengambilan ubat itu, saya tidak boleh mengambil ubat fever dan perlu mandi air sejuk setiap hari bagi menurunkan suhu badan saya, sehinggalah pada satu tahap suhu badan semakin tinggi dan terpaksa dicucuk steroid untuk merawat paru-paru saya," katanya.
Setelah sembilan hari berada di ICU, keadaannya semakin pulih dan dibenarkan untuk berpindah ke wad biasa namun masih di bawah pemantauan dari masa ke masa.
"Syukur selepas 20 hari berada di hospital, akhirnya pada 14 Mei lalu saya dibenarkan discaj namun doktor menasihatkan saya supaya tidak lagi menjalankan aktiviti lasak seperti sebelum ini kerana bila-bila masa sahaja virus itu akan menyerang jika saya tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.
"Walaupun dibenarkan discaj namun keadaan kesihatan saya tidak lagi seperti dulu. Saya mudah letih dan perlu berjaga-jaga dari segi kehidupan seharian kerana saya masih lagi dalam fasa pemulihan," katanya.
Menurut Toh, ramai yang memandang ringan akan jangkitan Covid-19 dan masih menganggap ia hanya demam biasa dan hilang deria rasa serta bau.
"Bergantung kepada individu, ada yang hanya bergejala ringan namun ada juga yang serius.
"Baru saya sedar selama ini kerajaan sentiasa menekankan pematuhan SOP dan SOP itu ternyata begitu penting kerana individu yang sihat seperti saya juga boleh menjadi teruk apatah lagi golongan berisiko tinggi.
"Namun demikian, saya sangat berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa kami dan sanggup berkorban cuti Hari Raya Aidilfitri demi menjaga pesakit-pesakit kritikal seperti saya," katanya.
Tidak sedar dijangkiti Covid-19
Sementara itu, jurufoto akhbar berbahasa Mandarin, Soh Teong Kok (he), 35, terkilan apabila masih menunjukkan gejala seolah-olah dijangkiti virus Covid-19 meskipun telah menjalani ujian calitan yang menunjukkan keputusan negatif.
"Pada 21 April lalu, saya tiba-tiba diserang demam panas. Oleh kerana tugas saya sebagai pengamal media dan tinggal dengan keluarga, saya pergi ke hospital swasta untuk membuat ujian saringan dan keputusannya negatif.
"Walaupun lega dengan keputusan itu, saya masih lagi berasa letih dan tercungap-cungap selain batuk teruk pada waktu malam selama seminggu menyebabkan saya insomnia, selain hilang deria rasa dan bau.
"Selepas sembilan hari, saya sudah tidak bermaya lagi dan terpaksa dipapah oleh ahli keluarga untuk ke hospital swasta membuat ujian sekali lagi... selepas menjalani ujian itu, saya segera diarahkan untuk masuk ke wad ICU kerana keadaan saya ketika itu sudah kritikal dan perlu ditolak dengan kerusi roda," katanya.
Memandangkan paras oksigen dalam badannya begitu rendah ketika itu, beliau terpaksa dikomakan untuk bantuan pernafasan oleh petugas kesihatan di ICU.
"Saya masih ingat lagi selepas sedar daripada koma selama empat hari, saya sempat ber'video call' dengan ahli keluarga saya namun tidak dapat bercakap dan hanya boleh memberi respons dengan anggukan kepala... ketika itu juga saya diberitahu oleh doktor bahawa keadaan saya mencapai ke tahap kelima.
"Perasaan pada ketika itu sangat perit kerana kebiasaannya saya sangat aktif dan tidak boleh duduk diam namun jangkitan ini sangat hebat sehinggakan saya terlantar di atas katil dan hanya mampu merenung ke atas tanpa boleh bergerak kerana badan dipenuhi dengan wayar dan tiub pernafasan," katanya.
Selepas lapan hari berada di wad ICU, beliau ditukarkan ke wad biasa namun masih memerlukan pemantauan rapi serta bantuan pernafasan.
"Walaupun sudah boleh bercakap dan berjalan, namun saya masih tercungap-cungap lebih-lebih lagi apabila mahu ke tandas... bersyukur kerana saya telah melepasi paras berbahaya dan deria bau serta rasa semakin pulih dan dibenarkan discaj sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada Bernama.
Meskipun ahli keluarga dan rakan-rakan yang pernah berurusan dengannya disahkan negatif, namun beliau masih berasa serba salah dan sehingga kini masih berehat di rumah dan dalam fasa pemulihan.
"Saya sebenarnya tiada idea dari mana dijangkiti Covid-19... mungkin dalam kalangan rakan-rakan ataupun orang awam yang tidak bergejala, namun penangan virus ini sangat hebat sehinggakan hampir meragut nyawa.
"Oleh itu, apa yang selalu ditekankan oleh kerajaan untuk mematuhi SOP adalah sangat penting. Mungkin kita rasa sihat dan selalu berkumpul dan berjumpa dengan kawan-kawan namun sebenarnya kita tidak sedar bahawa virus sudah ada dalam komuniti.
"Bila-bila masa kita boleh dijangkiti sekiranya kita masih memandang ringan dengan keluar dari rumah dan tidak mematuhi SOP," katanya.
Menurut laporan pada 18 Mei lalu, KKM menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti yang berlaku di banyak negara lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, ia disebabkan penularan virus SARS-CoV-2 dalam komuniti terutama melibatkan beberapa Variant of Concern (VOC) di negara ini yang amat membimbangkan.
Dr Noor Hisham menjelaskan, VOC ini dikaitkan dengan kadar penularan yang lebih cepat dengan kadar kematian yang lebih tinggi. - Bernama