SHAH ALAM - Perkongsian seorang doktor mengenai pemergian bapanya yang dijangkiti Covid-19 mendapat perhatian warganet apabila ramai turut merasai kehilangan orang tersayang akibat wabak yang rakus meragut 3.4 juta nyawa di seluruh dunia.
Meskipun reda dan tabah dengan pemergian bapanya, Dr Sakinah Kamarul Bahrin bagaimanapun sempat bertemu serta membantu Ir Kamarul Bahrin Mohamad, 63, untuk berwuduk sebelum ditempatkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menerusi video di muat naik di Instagram @sakinah_kb, pada 23 Mei itu, ia adalah permintaan terakhir bapanya malah reda dengan keputusan menempatkannya di ICU.
Katanya, pada posting hari tersebut, video itu dirakam pada 21 Mei pada jam 1.10 petang sebelum azan solat Zuhur.
Dr Sakinah juga turut berkongsi keadaan ketika itu di mana bapanya dalam keadaan lemah dan mengah yang teruk.
"Oksigen abah tanpa 'high-flow mask' adalah 87-88 sahaja perjam, nak tau rasa dia macam mana? Pergi lari sprint sampai hujung yang anda rasa tak boleh nak lari dan anda berhenti tu, macam itulah abah rasa. For hours (under observation).
"Sebab itu kalau perasan lepas selesai bahagian muka, saya cepat-cepat pakaikan mask oksigen semula sebab dia dah mula mengah teruk. Mengah kejap tu pun saya tak sanggup tengok, sebelum intubasi tu anda rasa mengah dia macam mana?" kongsinya.
Beliau juga menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menyatakan bapanya dalam keadaan tenang, tidak teruk sewaktu mengambil wuduk dan bukan sebaliknya.
"Kenapa dalam video abah nampak relax? 'Because he is our Abah', Ir Hj Kamarul Bahrin Mohamad 'even' di hadapan lawan yang memaki pun dia akan senyum.
"Abah cuma kena intubasi tiga jam lebih sahaja selepas doktor bius dan 'team' tengok abah gelisah dan tidak boleh bernafas sendiri, anda unjurkan mereka semua biarkan dia menggelupur sahajakah?
"Dia pergi dengan tenang. Muka abah di hujungnya sama macam muka abah tidur 'on his favourite Recliner chair' saya belikan beberapa tahun lalu," katanya.
Beliau bagaimanapun melahirkan rasa syukur apabila ramai mendoakan bapanya meskipun tidak mengenali siapa Allahyarham.
"ALLAH, ramainya sayang abah. Terima kasih semua yang meluangkan masa dan usaha untuk menghubungi saya.
"Saya ok insya-ALLAH. Saya tahu 'dia balik' dengan ringan. Abah sempat Ramadan penuh, hujung-hujung Ramadan abah dah mula sakit, jadi doa abah mesti sampai," kongsinya.
Sementara itu dalam rakaman video terbabit, Allahyarham sempat mengharapkan doa daripada orang ramai.
"Tolong panjatkan doa buat ayah/tok ya," kata Allahyarham dalam video berkenaan.
Video durasi 1 minit 50 saat yang meruntun jiwa itu telah ditonton lebih dua juta tontonan dan ramai warganet tidak putus berdoa agar roh Allahyarham Kamarul dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, Dr Sakinah juga memaklumkan, ibunya turut dijangkiti Covid-19 dan berada di wad yang sama serta enam lagi ahli keluarganya turut dijangkiti wabak itu.
Difahamkan, Allahyarham mula dikenal pasti positif Covid-19 pada 7 Mei lalu setelah mempunyai simptom dan mula ditempatkan di wad ICU sejak Jumaat lalu.
Dr Sakinah sehingga kini terus memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan Covid-19 terutama bagi mereka yang beranggapan wabak ini hanya sekadar mainan.