KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah lagi bot nelayan yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki palsu dalam rondaan Ops Kuda Laut dan Ops Iman.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot dikendalikan sembilan kru dan tekong Vietnam itu ditahan oleh KM Gemia di sekitar 35 batu nautika timur laut Kuala Kemaman pada jam 4.10 pagi Sabtu lalu.
Menurutnya, bot tersebut dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan dan mencurigakan berikutan ciri dan struktur fizikal yang menyerupai bot nelayan Vietnam namun menggunakan nombor patil tempatan.
"Pemeriksaan mendapati semua kru dan tekong berumur antara 28 hingga 50 tahun telah mengemukakan dokumen pengenalan diri, permit kerja serta lesen bot yang meragukan.
"Kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Rashidilhadi berkata, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, bekalan diesel sebanyak 1,000 liter dan hasil laut berupa sotong basah seberat 500 kilogram dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.4 juta.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Taktik guna bot klon gagal, 29 nelayan asing ditahan