KUANTAN - Suasana lengang di sekitar Bandaraya Kuantan dan beberapa taman perumahan di daerah ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa mulai Isnin.
Tinjauan Sinar Harian di daerah ini mendapati kebanyakan lokasi yang selalu dipenuhi orang ramai kini sunyi tanpa kehadiran orang awam.
Di beberapa kawasan taman perumahan juga tiada kelibat penduduk kelihatan di kawasan berkenaan dan mereka patuh dengan arahan duduk di dalam rumah.
Bagi penjawat awam, Fadilah Ibrahim, 45, berkata, saranan kerajaan untuk kuarantin kendiri di rumah kini dipraktikkan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
"Saya bimbang wabak ini (Covid-19) semakin meningkat di Kuantan, jadi apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah langkah tepat untuk mengurangkan pergerakan.
"Kalau lihat di taman perumahan ini semua sudah sunyi sepi dan membuktikan penduduk sedar bahawa Covid-19 ini boleh merebak dengan senyap selain semua pihak perlu menjaga diri mereka," katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Sungai Isap pada Isnin.
Bagi penduduk di Permatang Badak, Muhammad Rahim Fitri, 32, tempoh dua minggu ini perlu digunakan sebaiknya untuk memutuskan rangkaian penularan pandemik Covid-19.
Katanya, setiap orang sudah melalui pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu dan pasti PKPD yang ditempuhi ini adalah perkara biasa.
"Kita kena patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dan keputusan PKPD ini adalah untuk kebaikan semua pihak.
"Saya harapkan semua pihak patuhi SOP dengan mengurangkan pergerakan sekali gus dapat memutuskan rangkaian Covid-19," ujarnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Abdullah Ansari, 54, berkata, keadaan kembali sunyi selepas PKPD bermula dan kehadiran pelanggan juga semakin berkurangan.
"Setakat ini pendapatan tidak terjejas lagi kerana PKPD baharu sahaja bermula. Saya lihat masih ada pelanggan datang ke kedai untuk membeli barangan keperluan.
"Mereka semua dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Sebanyak tujuh mukim di Kuantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada Isnin hingga 6 Jun ini.
Mukim yang terlibat adalah Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar membabitkan seramai 207,967 individu atau 90 peratus penduduk di daerah ini.