SHAH ALAM - Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan terus menghargai golongan pendidik negara melalui penyampaian Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.
BSN selaku penaja utama bagi hadiah Hari Guru 2021 telah menaja sebanyak RM230,000 jumlah keseluruhan hadiah RM150,000 bagi peringkat kebangsaan dan RM80,000 bagi peringkat negeri.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah menyerahkan hadiah berupa BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), masing-masing bernilai RM50,000 kepada dua Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan dan seorang Tokoh Guru Kebangsaan baru-baru ini.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, penyampaian kedua-dua anugerah itu adalah tanda sokongan BSN kepada para pendidik serta institusi pendidikan negara dalam membentuk pembangunan generasi muda yang berkemahiran dan berbudaya tinggi.
"Sesungguhnya tanggungjawab ini bukanlah mudah dan para pendidik sewajarnya dihargai dan diraikan. Syabas diucapkan kepada semua pemenang” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, sokongan BSN dalam bidang pendidikan turut merangkumi penglibatan BSN secara aktif dalam aktiviti celik kewangan bersama pelajar sekolah menerusi program Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) serta banyak lagi.
"Melalui program ini, para pelajar serta pihak sekolah berpeluang membawa pulang anugerah SGSP bernilai lebih RM290,000 untuk 206 pemenang.
"BSN turut melaksanakan ‘Kempen BSN Smart Spend’ untuk program ‘cashless school’ yang telah berlangsung bermula dari 15 September 2020 sehingga 31 Mei 2021. Nilai hadiah bagi kempen ini adalah RM125,000 untuk sekolah dan individu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dr Amin Senin, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021 dan penerima anugerah sama kedua adalah Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.
Noorizan Mohamed pula dinobatkan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021.