KEPALA BATAS - Seramai 12 individu termasuk tiga wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam judi loteri awam haram dalam serbuan berasingan di 11 premis sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU), pada Ahad.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua yang ditahan dalam Ops Dadu Bersepadu/Ops Aidilfitri itu berusia lingkungan 17 hingga 69 tahun.
Menurutnya, operasi tersebut dianggotai lapan pegawai dan 40 anggota dari Balai Polis Butterworth, Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibupejabat Polis Daerah SPU serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula jam 11.35 pagi hingga 5.15 petang.
"Bertindak atas maklumat, polis telah menyerbu dan memeriksa 11 buah premis kerana disyaki menjalankan loteri awam tanpa lesen dan kegiatan perjudian pertaruhan bookie lumba kuda.
"Dalam kesemua serbuan itu, kita menahan sembilan lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat dengan kes judi haram. Mereka ditahan di beberapa lokasi berbeza antaranya di Butterworth, Mak Mandin dan Sungai Dua," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis merampas wang tunai serta beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan perjudian antaranya 15 telefon bimbit; 12 keping slip kertas bercetak angka dan enam pencetak mudah alih.
"Kita juga telah memohon kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat pemotongan bekalan elektrik keatas semua premis yang diserbu mengikut peruntukan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuak 1953.
"Ia bagi memastikan aktiviti judi khususnya judi loteri awam dan kegiatan perjudian atas talian ini dapat dibanteras secara berterusan sepenuhnya. Sementara itu, Ops Dadu Bersepadu ini akan diteruskan setiap masa bagi memastikan kegiatan judi di daerah ini dapat dibanteras," katanya.
Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
Tambahnya, orang awam turut diminta membantu polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) atau menghubungi Ibupejabat Polis Daerah SPU di talian 04-5762222.