Korban Covid-19 di India lepasi 300,000

Iklan
India menjadi negara ketiga di dunia yang melepasi angka 300,000 kematian di belakang Amerika Syarikat dan Brazil.

NEW DELHI - Angka korban Covid-19 di India kini mencecah 303,720 pada Isnin, lapor Xinhua, memetik Kementerian Kesihatan.

India menjadi negara ketiga di dunia yang melepasi angka 300,000 kematian di belakang Amerika Syarikat dan Brazil.

Iklan
Iklan

Sebanyak 4,454 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu dikatakan paling tinggi setakat ini.

Sementara itu, keseluruhan kes Covid-19 di India meningkat kepada 26,752,447, dengan sejumlah 222,315 kes baharu didaftarkan sejak pagi Ahad.

Iklan

Masih terdapat 2,720,716 kes aktif di negara ini, penurunan 84,683 kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kes aktif harian pula menurun sejak beberapa hari kebelakangan ini, selepas menyaksikan lonjakan sejak pertengahan April.

Iklan

Sejumlah 23,728,011 orang telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital setakat ini.

Dalam usaha untuk melandaikan graf Covid-19, kebanyakan negeri telah melaksanakan perintah berkurung waktu malam dan sekatan pergerakan penuh atau separa.

Setakat ini, lebih 196 juta dos vaksin (196,051,962) telah diberikan.

Pada masa ini, fasa ketiga vaksinasi Covid-19 sedang berlangsung, merangkumi semua penduduk berumur 18 tahun ke atas, namun banyak negeri kini menghadapi masalah kekurangan bekalan vaksin.

India menggunakan tiga jenis vaksin iaitu Covishield, Covaxin, dan Sputnik-V keluaran Rusia. - Bernama