Pesara kerajaan rugi hampir RM10,000 ditipu sindiket parcel scam

Iklan
Foto 123RF

KUALA NERUS - Seorang pesara kerajaan wanita mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat terpedaya dengan penipuan sindiket parcel scam awal tahun ini.

Mangsa berusia 57, dari Telaga Daing, di sini dihubungi seorang lelaki yang dikenalinya menerusi media sosial Facebook pada Februari lalu memaklumkan yang rakannya itu kini bekerja di Paris.

Iklan
Iklan

Sebulan selepas itu, suspek berusia 50-an itu sekali lagi menghubungi mangsa meminta pertolongan bagi mengagihkan sumbangan yang akan dikirimkan kepada masyarakat setempat termasuk di surau dan masjid serta anak-anak yatim sempena hari raya nanti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, suspek memaklumkan yang dia ada mengirimkan kelengkapan solat tetapi bungkusan tersebut 'tersangkut' di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan kononnya sebagai bayaran caj yang dikenakan.

Iklan

"Mangsa tanpa berfikir panjang terus memasukkan sejumlah wang diarahkan ke dalam akaun bank diberikan tanpa sebarang syak. Pada sekitar bulan April pula mangsa sekali lagi diminta berbuat demikian dengan alasan kononnya pihak berkuasa terjumpa ada sejumlah wang asing di dalam bungkusan tersebut.

"Bagaimanapun mangsa masih tidak menyedari dirinya sudah terperangkap dalam sindiket penipuan tersebut dan melakukan apa yang diarahkan sehinggalah pada Jumaat lalu (21 Mei) dia masih diarahkan memasukkan lagi sejumlah wang ke dalam akaun bank yang berbeza," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

M Zambri berkata, mangsa yang mula merasa sangsi selepas sekali lagi diminta membuat bayaran sebagai caj dikenakan ke atas bungkusan yang kini ditahan di Pusat Kuarantin Covid-19.

Katanya, mangsa nekad enggan membuat sebarang pembayaran meskipun berkali-kali diminta berbuat demikian sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan susulan di balai polis berhampiran.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika disabitkan kesalahan.

Katanya, kejadian sedemikian masih kerap berlaku walaupun pihak polis sudah berulang kali memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan seumpama itu.

"Janganlah mudah percaya tawaran oleh mana-mana individu yang hanya dikenali melalui media sosial untuk menerima bungkusan.

"Buat semakan terlebih dahulu dengan pihak berwajib seperti JKDM dan syarikat kurier dikaitkan dengan menghubungi nombor telefon sahih bagi mendapatkan kepastian sama ada wujud atau tidak bungkusan yang dimaksudkan itu," katanya.