SHAH ALAM - Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch) menggesa kerajaan meneliti semula penjualan rokok elektronik atau vape secara terbuka.
Presidennya, Roslizawati Md Ali berkata, pada masa kini penjualan vape dilihat tidak begitu ketat dan mampu dibeli oleh sesiapa sahaja termasuk golongan remaja dan kanak-kanak.
Menurut Roslizawati, jika tidak ditangani dengan segera, beliau khuatir akan memberi kesan jangka panjang terutamanya terhadap tumbesaran kanak-kanak.
"Ada laporan mengatakan mereka membeli vape di pasar malam, malah ada yang mengatakan ia turut dijual di bazar Ramadan baru-baru ini.
"Alat tersebut tidak sepatutnya dijual terutamanya kepada kanak-kanak mahupun remaja kerana kita risau akan kesan sampingan, seperti masalah pertumbuhan, kecacatan paru-paru dan urat saraf,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya juga, bahan kimia nikotin dalam vape yang dibakar juga mampu menyebabkan kanser.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak dilihat menghisap rokok elektronik secara terbuka.
Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Roslizawati berkata, pihaknya telah menerima beberapa laporan mengenai penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan sudahpun membuat laporan lanjut bagi tindakan susulan.
Ujarnya, orang ramai khususnya golongan dewasa harus memainkan peranan dalam membendung isu tersebut sebelum menjadi parah.