ALOR SETAR - Kedah menyasarkan kutipan lebih RM1 juta untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin menerusi fasa dua Tabung Kemanusiaan Pas Relief atau Aid4Palestine.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan kejayaan mengumpul RM1.64 juta pada fasa pertama tabung itu dilancarkan di negeri ini.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan sumbangan RM500,000 daripada kerajaan negeri, anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat korporat untuk sumbangan Aid4Palestine bagi fasa kedua yang bermula pada Ahad.
"Kerajaan negeri sumbang sebanyak RM200,000, selebihnya memfokus kepada sumbangan daripada GLC, wakil-wakil rakyat dan syarikat korporat.
"Saya yakin atas kesedaran persaudaraan dan kemanusiaan sasaran itu boleh dicapai selain pendekatan melalui syarikat-syarikat persendirian,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan dana Aid4Palestine secara dalam talian di Seri Mentaloon pada Ahad.
Pada majlis sama, Muhammad Sanusi mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200,000 untuk tabung Aid4Palestine.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Pas Relief mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Kedah yang prihatin membantu penduduk di Palestin yang menjadi mangsa keganasan regim Zionis Israel.
Bagaimanapun beliau kesal dengan sikap segelintir pihak yang mempertikai bantuan yang disalurkan apabila menyifatkan tindakan kerajaan membantu rakyat Palestin umpama ‘kera di hutan disusukan, anak di riba mati kelaparan’.
"Mereka yang pertikai sepatutnya memahami bantuan kemanusiaan terhadap saudara Islam kita yang ditindas, dizalimi dan dibunuh. Menyamakan mereka dengan kera di hutan samalah seperti melabel diri sendiri yang tak peduli akan penderitaan orang lain.
"Kita perlu beri pertolongan kepada orang lain sebagai tanggung jawab sesama Islam atau atas dasar kemanusiaan. Apatah lagi rakyat Palestin dizalimi sejak 73 tahun lalu,” katanya.
Menurutnya lagi, ramai keluarga di Palestin kehilangan ayah, suami, ahli keluarga dan kediaman akibat kezaliman Israel sejak 1948.
"Umat Islam di Palestin tidak ada tempat bergantung. Mereka tiada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Lembaga Zakat atau Baitulmal seperti di negara kita,” katanya.
Sehubungan itu, kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu, Palestin mengharapkan bantuan disalurkan dari negara Islam lain untuk memulihkan sektor kesihatan, keperluan asas, makanan dan perlindungan terutama kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali atas surat penghargaan kepada kerajaan negeri Kedah pada 20 Mei lalu,” katanya.
Berdasarkan surat berkenaan, kerajaan dan kepimpinan Palestin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi Muhammad Sanusi kepada Palestin, yang mengutuk serangan dan perancangan keji tidak berperikemanusiaan Israel terhadap al-Quds, al- Shareef, al-Aqsa, al-Mubarak dan warga Palestin di tanah Gaza.
Walid dalam kenyataan itu menyebut, bantuan kewangan yang sangat besar amat diperlukan di Palestin.
Tambah beliau, pihaknya turut bangga dengan ikatan yang terbentuk antara Malaysia-Palestin dan sokongan terhadap perjuangan Palestin.