Kemalangan LRT pertama kali selepas 23 tahun beroperasi

Iklan
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong hadir bagi meninjau keadaan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan berhampiran stesen KLCC malam ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyatakan insiden kemalangan membabitkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) adalah pertama kali berlaku di negara ini sejak operasinya pada 23 tahun lalu.

Ka Siong berkata, siasatan secara menyeluruh dan terperinci perlu dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Iklan
Iklan

"Ini adalah satu kejadian kemalangan yang amat serius dan mendukacitakan, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Prasarana dan Agensi Pengangkutan Awam Darat dalam mencari punca sebenar kejadian ini," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian pada Isnin.

Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Prasarana sedang melihat secara terperinci sama ada perkhidmatan LRT ini akan beroperasi seperti biasa semula esok atau sebaliknya.

Iklan

"Paling penting pada masa ini adalah memastikan setiap penumpang yang mengalami cedera parah dan ktritikal mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua tren LRT bertembung, penumpang cedera

Iklan

Ka Siong berkata, beliau difahamkan bahawa setiap penumpang juga dilindungi insurans semasa menggunakan perkhidmatan LRT tersebut.

"Fokus kita adalah merawat mereka yang cedera, perkara lain sama ada berhubung isu pampasan akan dibincangkan selepas semuanya selesai," katanya.

Menurutnya, satu pasukan petugas khas atau task force ditubuhkan serta merta bagi menyiasat insiden pelanggaran tren berkenaan.

"Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat Azlan Shah Al Bakri akan hantar laporan awal kepada saya.

"Dalam tempoh dua minggu kita akan siasat sama ada insiden disebabkan kesilapan sistem atau komunikasi. Kita akan pastikan siasatan dan kenal pasti punca pelanggaran ini," katanya.