GERUP Artileri Pertahanan Udara (GAPU) Tentera Darat (TD) adalah pasukan kecil tetapi berperanan sangat besar bagi memberi payung perlindungan kepada ketumbukan tentera di darat, lokasi penting dan sasaran strategik negara.
GAPU yang berkekuatan empat buah rejimen menggabungkan persenjataan seperti meriam penangkis pesawat dan lima jenis sistem peluru berpandu aras rendah. Sebuah sub unit turut diletakkan bersama 10 Briged Para bersenjatakan peluru berpandu lanca-ran bahu bagi memberi perlindungan pertahanan udara kepada pasukan atur gerak cepat tersebut.
GAPU memiliki aset berteknologi tinggi apabila mengendalikan sistem radar pengawasan pasif jarak jauh iaitu VERA-E buatan firma Omnipol dari Czech dengan jangkauan sehingga 450 kilometer (km). Sistem VERA-E yang dibeli pada tahun 2007 bertindak sebagai amaran awal yang mampu menghidu sebarang pergerakan di ruang udara negara. Radar sama turut dioperasikan oleh tentera Vietnam.
Dalam konflik moden, fungsi pasukan pertahanan udara adalah krtitikal iaitu perlu mempertahankan ruang udara negara dan menangkis serangan udara musuh supaya pertahanan di darat tidak dibinasakan dengan mudah.
Semasa Perang Teluk 1, serangan udara awal pagi tentera berikat diketuai Amerika Syarikat pada 17 Januari 1991 yang menggegarkan kota Baghdad disambut dengan tembakan bertali arus unit-unit pertahanan udara tentera Iraq.
Operasi Desert Storm mencatatkan dimensi apabila menyaksikan pertembungan kuasa udara paling kuat di dunia dengan negara yang memiliki sistem pertahanan udara yang dikatakan sebelumnya sebagai paling padu.
Biarpun dihentam hebat, Iraq yang memiliki kira-kira 10,000 pelbagai jenis senjata antipesawat, selain 154 pos sistem pelancar peluru berpandu pertaha-nan udara buatan Rusia dan Eropah mampu memberikan tentangan sengit pada awal serangan. Namun, Iraq tidak mampu menangkis ratusan serangan udara kerana sistem yang ada dibangunkan bagi mengekang ancaman boleh dijangka, misalnya dari Israel atau Iran.
Hanya setelah markas kawalan pertahanan udara Iraq dapat dilumpuhkan, barulah ruang angkasa negara itu mudah dikuasai seterusnya merancakkan serangan di darat. Berikutan serangan peluru berpandu Scud yang dilancarkan Iraq terhadap Arab Saudi dan Israel semasa Perang Teluk, maka kedua-dua negara memperkukuhkan pertahanan ruang udara masing-masing.
Industri pertahanan Israel giat membangunkan sistem perlindungan udara negara untuk disesuaikan dengan ancaman yang bakal dihadapi. Justeru, serangan roket bertalu-talu yang dibalas dengan tembakan sistem pertahanan udara Israel pada kegelapan malam semasa konflik selama 11 hari Hamas – Israel pada minggu lalu menunjukkan bagaimana sebuah sistem pertahanan ruang angkasa memainkan peranan.
Kemampuan pertahanan Iron Dome atau kubah besi Israel sungguhkan dipersoalkan sesetengah pihak bagaimanapun masih diakui sebagai antara sistem pertahanan udara terbaik.
Malah, bukan semua negara memiliki teknologi untuk membangunkan sistem pertahanan sedemikian walaupun menelan perbelanjaan besar.
Ini kerana Iron Dome yang dibangunkan firma Rafael Advance Defence Systems mula digunakan pada 2011 untuk menangkis tembakan roket itu adalah sebahagian daripada sistem pertahanan udara berlapis Israel.
Peluru berpandu Tamir pada Iron Dome boleh menangkis roket atau peluru berpandu yang dilancarkan pada jarak empat hingga 70km.
Negara jiran Singapura sebagai contoh mengaplikasikan sistem pertahanan udara berlapis yang sangat sofistikated selain menaik taraf persenjataan yang ada sesuai dengan perubahahan teknologi bagi melindungi negara pulau tersebut.
Tahun lalu Singapura menerima sistem peluru Aster 30 bagi meningkatkan kemampuan pertahanan udara aras sederhana untuk menangkis ancaman udara sehingga pada jarak 70km.
Biarpun teori peperangan moden hari ini tidak lagi meletakkan bahawa pihak yang dapat menguasai ruang udara sebagai berjaya dan seterusnya memenangi perang di daratan, namun kepentingan memiliki pertahanan udara yang baik masih diperlukan.
Industri pertahanan Israel giat membangunkan sistem perlindungan udara negara.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu.