Tenang jangan panik!

Iklan
Penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad melakukan percubaan ke arah gawang Kuwait di Stadium 7he Sevens, Dubai pada Ahad. -Foto: FB FAM

PEMINAT dan penyokong bola sepak Malaysia tidak harus panik dengan kekalahan besar 1-4 skuad Harimau Malaya kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Stadium 7he Sevens, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.

Bekas pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh berkata, kekalahan itu tidak perlu dijadikan isu memandangkan ia sekadar perlawanan latihan buat barisan pemain negara sebelum mereka menghadapi tugasan sebenar - Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 awal bulan depan.

Iklan
Iklan

"Inikan perlawanan persahabatan dan coach Tan juga masih nak uji pemain-pemainnya. Lagi pun, pemain-pemain baru berkumpul bersama, jadi sudah tentu susah nak dapat (keserasian) kerana nak bentuk pasukan bukan senang... ambil masa.

"Bagi saya, kita semua tak risau kerana kekalahan ini akan buat pasukan kebangsaan lebih fokus untuk perlawanan yang akan datang. Bagi masa sikit kepada coach Tan dalam membentuk barisan terbaiknya.

Iklan

"Saya juga ada hantar mesej kepada beliau. Saya kata jangan risau, ini hanya satu permulaan buat pasukan kebangsaan. Team will be better, jadi jangan risau apa-apa,” katanya kepada Sukan Harian pada Isnin.

Dalam aksi pemanas badan itu, gol tunggal Harimau Malaya dijaringkan penyerang naturalisasi baharu, Guilherme de Paula yang mendapat kepercayaan Cheng Hoe beraksi dalam kesebelasan utama.

Iklan

Cheng Hoe turut membariskan penjaga gol berpengalaman Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias manakala Aidil Zafuan Abd Radzak, Irfan Zakaria, Rizal Ghazali dan Corbin Ong memperkuat benteng pertahanan Harimau Malaya.

Bahagian tengah pula diisi Brendan Gan, Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abbad sambil dibantu Mohamadou Sumareh serta Akhyar Rashid yang masing-masing berperanan di posisi sayap kanan dan kiri Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Dollah percaya Cheng Hoe sudah mendapat gambaran awal kesebelasan terbaiknya menjelang pertemuan menentang Bahrain dalam aksi persahabatan di Manama pada Jumaat ini.

"Macam yang saya pernah kata sebelum ini, team ini ada future dan tak salah rasanya kalau saya katakan pasukan kali agak mantap. Saya percaya pasukan ini akan berjaya melakukan sesuatu nanti.

"Dengan syarat semua pihak perlu terus positif terhadap kemampuan pasukan kebangsaan. Sebagai peminat dan penyokong bola sepak, kita harus memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan.

"Para pemain memerlukan sokongan padu daripada semua pihak khususnya penyokong bola sepak. Jadi ini masanya kita terus meniupkan semangat mereka sebelum aksi sebenar nanti,” ujarnya.

Selepas aksi menentang Bahrain, Harimau Malaya bakal menghadapi tugas sebenar mereka apabila dijadualkan bertemu UAE pada 4 Jun; Vietnam (12Jun) dan Thailand (16 Jun) bagi mengakhiri baki tiga aksi Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.