BAITULMAQDIS - Ratusan penduduk Palestin ditangkap oleh polis Israel dalam satu satu operasi undang-undang yang dilakukan ke atas mereka di Baitulmaqdis Timur, pada Isnin malam.
Ribuan anggota polis rejim Zionis telah menangkap lebih 500 golongan muda Palestin dalam Operasi Undang-Undang dan Arahan Israel itu.
Operasi itu menyasarkan penduduk Palestin yang telah menyertai tunjuk-tunjuk perasaan bagi membantah dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pemerintah Israel di Baitulmaqdis Timur.
Antara tunjuk perasaan itu adalah seperti membantah pengusiran beberapa keluarga Yahudi dari rumah-rumah mereka di Sheikh Jarrah dan memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa secara haram di Baitulmaqdis Timur.
Pada masa sama, tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan Israel ke atas peneroka haram Yahudi yang melakukan jenayah seperti dalam kejadian pembunuhan seorang penduduk Palestin di bandar Lydda.
Menurut agensi berita WAFA, Pengarah Pusat Undang-Undang Untuk Golongan Hak-Hak Minoriti Arab di Israel, Hasan Jabarin turut mengutuk kempen tangkapan tersebut.
Beliau menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai satu deklarasi perang terhadap para penunjuk perasaan Palestin, aktivis politik dan golongan muda bagi membalas dendam berhubung pendirian politik mereka.
Dalam operasi itu, Israel telah menggerakkan ribuan anggota polis dari semua daerah dan unit untuk melakukan tangkapan tetsebut.
Lebih 1,500 penduduk Palestin dilaporkan telah ditangkap oleh Israel sejak 9 Mei lalu.
Pada 10 Mei lalu, Tentera Udara Israel melancarkan serangan bom selama 11 hari ke atas Gaza sebelum berakhir dengan gencatan senjata antara rejim Zionis dengan para pejuang Hamas serta Jihad Islam.
Lebih 200 penduduk Palestin terkorban manakala hampir 3,000 lagi cedera dalam pertempurab antara rejim Zionis dengan Hamas serta Jihad Islam yang berpunca daripada keenganan Israel untuk mengundurkan pasukan polis dari pekarangan Masjid al-Aqsa. - Agensi