KOTA BHARU - Jumlah peneman pesakit di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dihadkan kepada kes benar-benar perlu sahaja sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan golongan terbabit.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, peneman juga terlebih dahulu perlu disahkan bebas daripada jangkitan bagi memastikan fasiliti perubatan terus dilindungi dan berfungsi dengan baik.
"Kita bimbang mereka yang menemani pesakit di wad ini boleh jadi pembawa yang akan menyebabkan punca penularan Covid-19 kepada orang lain terutamanya petugas hospital.
"Maka mereka perlu menjalani ujian saringan dan negatif Covid-19 baharulah boleh menemani pesakit yang hanya benar-benar memerlukan peneman sahaja bermula selepas Aidilfitri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HRPZII di sini pada Isnin.
Dr Selasawati berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi melindungi wad HRPZ II memandangkan penggunaan 238 katil wad Covid-19 sudah capai 98 peratus manakala 42 katil wad di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula penuh dengan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.
"Jadi kita bimbang peneman yang bebas keluar masuk akan menjadi punca gejala yang boleh menular kemudian menjangkiti pesakit lain dan juga petugas kesihatan.
"Bagi pelawat pula kekal tidak dibenarkan dan berharap masyarakat faham situasi ini dilakukan bertujuan melindungi diri dan semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peneman perlu mematuhi peraturan tersebut dan membuat saringan bagi mengekang risiko jangkitan.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan katil di hospital itu dipenuhi pesakit positif Covid-19 kategori empat dan lima manakala pesakit kategori tiga pula akan dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Khas di Gelanggang Seni, Kota Bharu.
Tindakan pindah ke PKRC yang menempatkan 60 katil klinikal itu diambil bagi memberi laluan kepada pesakit Covid-19 lebih kronik termasuk warga emas dan golongan berisiko yang meningkat saban hari.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit Covid-19 kategori 4,5 penuhi katil HRPZ II