CANBERRA - AUSTRALIA. Ia pernah diumumkan sebagai mamalia pertama mengalami kepupusan akibat perubahan iklim yang disebabkan aktiviti manusia.
Kini, spesies tikus Bramble Cay melomys telah disahkan pupus oleh Australia.
Habitat haiwan itu adalah di pulau kecil di Selat Torres berhampiran pantai Papua New Guinea (PNG).
Ia didakwa tidak pernah dilihat sejak 2009.
Saintis bagaimanapun menyatakan terdapat kemungkinan spesies sama ditemui di PNG.
Keputusan Canberra untuk menyenaraikan spesies itu sebagai pupus selepas kerajaan Queensland membuat penentuan sama pada 2016.
Laporan kerajaan mendapati ia mungkin berpunca daripada perubahan pada lautan dan daratan yang berlaku sedekad lalu hingga menyebabkan kehilangan habitatnya secara dramatik.
Kesatuan Antarabangsa untuk Pemulihan Alam memaklumkan Australia adalah salah satu negara yang mencatatkan kepupusan haiwan paling tinggi di dunia. - BBC