PASIR MAS - Penduduk di Pengkalan Pasir, di sini menerima khabar duka apabila isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Datuk Hanifa Ahmad iaitu Datin Zaharah Rosminah Amaluddin, 72, meninggal dunia pada Selasa.
Allahyarhamah yang sebelum ini menghidap penyakit kanser menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.30 pagi.
Difahamkan beliau meninggal dunia di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.
Hasil perkongsian hidup dengan Hanifa, mereka dikurniakan dengan empat cahaya mata.
Jenazah Allahyarhamah akan dibawa balik ke rumahnya di Kampung Kubang Bemban pada jam 1 tengah hari.
Urusan pengebumian akan dilakukan pada jam 5 petang di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nyior, Pasir Mas.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub menerusi laman Facebook miliknya menzahirkan takziah kepada ADUN Pengkalan Pasir itu.
Beliau mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.