PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan telah menerima lebih 900,000 permohonan sejak permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 dibuka pada 1 Februari lepas.
Dalam kenyataannya hari ini, kementerian itu berkata kira-kira 200,000 adalah permohonan baharu manakala baki merupakan permohonan kemas kini.
Kementerian itu berkata, proses pendaftaran BSH 2019 dipermudah antaranya membenarkan borang permohonan diterima walaupun pemohon tidak mengemukakan salinan dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa penghantaran.
"Borang berkenaan akan diproses berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam Borang BSH yang dikemukakan oleh pemohon sahaja," demikian menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan berkata pemohon juga mempunyai pilihan untuk membuat permohonan secara dalam talian yang tidak lagi mensyaratkan muat naik dokumen.
Pemohon BSH yang berumur 60 tahun dan ke atas (warga emas) tidak perlu mengemas kini maklumat melainkan jika terdapat perubahan maklumat memandangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri akan menggunakan data BSH 2018 untuk diproses, katanya.
"Bagaimanapun, maklumat permohonan yang diterima daripada pemohon akan dipadankan dengan data agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara bagi menentukan kelayakan setiap permohonan," menurut kenyataan itu.
Bagi pertanyaan lanjut, pemohon boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau e-mel kepada bsh@treasury.gov.my. Tarikh tutup permohonan BSH 2019 ialah pada 15 Mac ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2019 berkata BSH dijangka memanfaatkan lebih empat juta isi rumah, melibatkan peruntukan RM5 bilion. - Bernama