Covid-19: Malaysia utamakan keseimbangan kesihatan

Iklan
Muhyiddin semasa menyertai Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia secara maya semalam yang dipengerusikan oleh Prince of Wales, Putera Charles. - Foto FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dalam menangani wabak Covid-19, Malaysia mengutamakan keseimbangan antara melindungi kesihatan dan nyawa dengan memastikan kelangsungan ekonomi.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyertai Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia yang berlangsung secara maya semalam yang dipengerusikan oleh Prince of Wales Putera Charles.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Selasa, dalam perbincangan Meja Bulat itu, perdana menteri turut memaklumkan mengenai usaha yang telah dilaksanakan kerajaan untuk menjana ekonomi kitaran dalam rancangan pembangunan Malaysia.

"Ia sebagai salah satu pendekatan untuk mendorong perubahan sistemik ke arah penjanaan peluang pekerjaan dan perniagaan hijau yang lebih berdaya tahan.

Iklan

"Perdana Menteri turut menekankan kejayaan Malaysia dalam menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam mata wang dolar AS dengan hasil daripada penerbitan sijil kewangan Islam ini akan membiayai projek hijau yang sejajar dengan Agenda Pembangunan Lestari 2030,” menurut kenyataan itu.

Antara isu utama yang dibincangkan dalam persidangan yang turut dihadiri Presiden Maldives dan Sri Lanka serta Perdana Menteri Bangladesh dan Singapura itu adalah berkaitan pendekatan pemulihan hijau, peralihan ke ekonomi hijau dan tindakan kolektif menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26).

Iklan

Selain pemimpin berkenaan, Presiden Rwanda merangkap bakal Pengerusi Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), Perdana Menteri United Kingdom dan Setiausaha Agung Komanwel turut serta dalam perbincangan berkenaan.

Dalam pada itu, perbincangan itu juga telah membuka peluang kepada pemimpin terlibat berkongsi inisiatif dan amalan baharu dalam usaha mengembalikan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi disebabkan oleh wabak Covid-19.

Ia adalah melalui inisiatif ekonomi kitaran, transformasi industri karbon dan pembiayaan hijau yang mampan.

Sementara itu, Putera Charles turut menggalakkan pemimpin Komanwel supaya mendorong sektor swasta menyertai Inisiatif Pasaran Mampan yang dipimpin oleh baginda sendiri.

"Langkah itu dijangka berkemampuan untuk membantu syarikat-syarikat swasta untuk beralih kepada perniagaan berasaskan ekonomi hijau yang lebih cekap dan mesra alam," kata kenyataan itu. - Bernama