Hasil 'study grup' enam sekawan

Iklan
Edna Maryam (tiga, kanan) bersama lima rakannya ketika mengambil keputusan UPSR, hari ini di SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkam hari ini sudah tentu menjadi satu memori dan cerita menarik untuk dikongsi oleh murid tahun enam yang telah menduduki peperiksaan itu, September lalu.

Enam murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 yang sempat ditemui ketika mengambil keputusan itu memberitahu, mereka menubuhkan kumpulan belajar (study group) dua bulan sebelum peperiksaan.

Kumpulan itu dianggotai Edna Maryam Hasanuddin, Nur Auni Afia Fazli, Nur Nadhirah Amani, Nur Damia Natasha, Amalia Maisarah Akramin dan Siti Nur Zahraa Mat Zainuddin.

Edna Maryam dari kelas 6 Tabah berkata, walaupun kesemua mereka tinggal berjauhan, ia bukan halangan untuk menubuhkan kumpulan belajar.

"Kumpulan belajar ni ditubuhkan pertengahan Julai lalu. Dalam ahli grup kami ada pengawas sekolah dan pengawas pusat sumber.

"Disebabkan masing-masing tinggal berjauhan ada yang duduk di Bukit Kecil, Kubang Parit, Wakaf Mempelam, Bukit Payong, Kampung Laut, kami ambil inisiatif belajar bersama-sama di sekolah.

"Selain itu, kami akan ke Perpustakaan Awam untuk belajar bersama-sama," katanya yang mendapat 5A1B dalam UPSR.

Katanya, kesemua mereka meletakkan target sekurang-kurangnya 5A dalam peperiksaan itu dan ia mencapai apa yang dijangka.

"Hampir kesemua daripada kami mendapat keputusan terbaik, ada yang dapat 5A dan dua daripada kami mendapat 6A.

"Kita berusaha, namun, ALLAH SWT yang memberikan yang terbaik, walaupun antara kami ada yang dapat keputusan 5A dan 6A, ada juga rakan kami yang juga cemerlang, namun tidak mencapai target harapkan.

"Kami doakan agar dia terus cemerlang dan beroleh kejayaan selepas ini," katanya.

Ditanya bagaimana mereka belajar dalam kumpulan, katanya, mereka membahagikan mata pelajaran mengikut 'kepakaran'.

"Ada yang pandai dalam Bahasa Inggeris, akan jadi 'guru' kepada mereka yang kurang arif, ada yang pandai dalam pula Matematik akan ajar rakan yang kurang pandai.

"Bagitulah sebaliknya, kami akan belajar, berbincang dan menyelesaikan masalah dan buat latihan bersama-sama," katanya.

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, katanya, dia dan Nur Nadhirah Amani merancang untuk belajar di Sekolah Menengah (SM) Seri Puteri, Cyberjaya manakala rakannya yang lain ingin ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA).

"Saya dan Nadhirah ada keluarga di Cyberjaya, sebab itulah kami rancang untuk sambung tingkatan satu di situ.

"Manakala, rakan-rakan yang lain bercadang untuk ke SESMA," katanya.