KOTA BHARU – Kerajaan negeri mengalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ‘personal shopper’ atau pelbagai perkhidmatan lain yang disediakan di beberapa buah pasar raya di sekitar bandar-bandar utama di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, langkah tersebut amat penting bagi mengelak daripada berlakunya kesesakan di pasar raya, selain mengurangkan kontak antara pembeli dan peniaga.
"Perkhidmatan ‘personal shopper’ ini sudah lama diwujudkan iaitu semenjak mula-mula kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.
"Inisiatif ini diambil supaya kita dapat putuskan terus kontak antara masyarakat bagi memastikan tiada penularan Covid-19 berlaku. Namun kesedaran rakyat
Kelantan untuk menggunakan perkhidmatan ini masih kurang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, bukan hanya ‘personal shopper’ tapi banyak lagi perkhidmatan lain disediakan pasar raya yang ada termasuklah juga pembelian melalui pandu lalu dan sebagainya.
Beliau berkata, rakyat perlu membiasakan diri untuk menggunakan perkhidmatan tersebut sebagaimana masyarakat membiasakan diri untuk menggunakan pelitup muka dan menjaga kebersihan diri sepanjang masa.
"Memang ia merupakan fenomena, cara dan gaya hidup baharu yang mungkin agak susah untuk kita biasakan. Namun ia bukan mustahil sebab itulah rutin yang perlu kita mulakan selepas ini bagi memastikan keselamatan kita dan keluarga terjamin.
"Bagi saya, ia sebenarnya lebih memudahkan, menjimatkan masa dan tidak menyusahkan rakyat untuk beratur dan sebagainya. Semuanya hanya melalui tempahan saja, tidak perlu keluar rumah,” katanya.