PUTRAJAYA - Satu ciri baharu akan dimasukkan dalam aplikasi MySejahtera khas untuk mengenal pasti individu berstatus hamil dan ibu yang sedang menyusu.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ciri tersebut akan diperkenalkan bermula hujung minggu ini.
Iklan
Iklan
"Apabila ciri ini dikeluarkan oleh MySejahtera, ibu mengandung dan ibu yang sedang menyusu boleh mengenal pasti diri mereka melalui MySejahtera untuk janji temu diberikan kepada mereka.
"Ini bagi menerima vaksin yang disyorkan kepada mereka, contoh bagi ibu hamil, antara tempoh 14 hingga 33 mingu, vaksin Pfizer adalah vaksin yang disyorkan,” katanya ada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini pada Selasa.
Jelas beliau, ibu mengandung dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor masing-masing.
Bagaimanapun mengikut panduan yang telah dikeluarkan, pengesyoran untuk golongan berkenaan divaksinasi adalah dalam tempoh 14 hingga 33 minggu kehamilan.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan digesa mengubah borang pendaftaran vaksin untuk segera memasukkan status kehamilan dan ibu menyusu dalam aplikasi MySejahtera.