Empat penganggur ditahan miliki dadah

Iklan
PDRM

BALIK PULAU - Empat lelaki ditahan kerana memiliki dadah dalam dua serbuan berasingan di Batu Maung dan Sungai Rusa di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan dalam serbuan pertama di kawasan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung, Bayan Lepas.

Iklan
Iklan

"Lelaki itu ditahan pada jam 9.30 malam, Isnin lalu dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai sepeket plastik mengandungi dadah disyaki heroin dianggarkan berat 28.5 gram di dalam poket seluarnya.

"Hasil ujian saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Dia yang tidak bekerja dan berasal dari Jitra itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan satu melibatkan kes jenayah," katanya kepada media, hari ini.

Iklan

Menurutnya, dalam serbuan kedua kira-kira jam 3 pagi semalam, polis berjaya menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Sungai Rusa.

"Ketika serbuan, ketiga-tiga lelaki itu berada di ruang tamu rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai sembilan peket plastik berisi dadah disyaki heroin seberat 233.7 gram; empat peket plastik berisi 16.3 gram syabu dan satu bekas berpenutup merah mengandungi peket plastik lutsinar.

Iklan

"Turut dirampas, sebuah alat penimbang digital yang berbentuk seperti kotak rokok dan sebuah botol kaca yang diubahsuai untuk menghisap dadah. Kita turut menyita sebuah kereta Proton Saga bernilai RM19,800," katanya.

Anbalagan berkata, berdasarkan ujian saringan urin ketiga-tiga lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah jenis morfin dan methamphetmine.

"Lelaki pertama yang berusia 41 tahun dan berasal dari Sungai Rusa, Balik Pulau itu mempunyai tujuh rekod kesalahan melibatkan dadah dan dua kesalahan jenayah. Lelaki kedua pula berusia 39 tahun dan berasal dari Kota Sarang Semut, Alor Setar.

"Dia mempunyai dua rekod kesalahan melibatkan dadah manakala lelaki ketiga berusia 36 tahun yang berasal dari Permatang Damar Laut, Bayan Lepas mempunyai tiga rekod kesalahan melibatkan dadah dan satu rekod jenayah," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 Februari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dadah yang dirampas bernilai RM12,933 dan mampu membekalkan kepada 1,000 penagih itu dipercayai untuk pasaran Batu Maung dan Balik Pulau sahaja berikutan jumlahnya yang kecil," katanya.