KUALA LUMPUR - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Manjalara di Pusat Komuniti Taman Manjalara di sini dilaporkan sesak sejak Isnin selepas kawalan ketat dilakukan di pintu pagar PPV berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian tengah hari Selasa mendapati mereka yang hadir untuk menerima suntikan vaksin diminta beratur di luar pintu pagar mengikut sesi janji temu masing-masing.
Orang ramai dilihat beratur seawal jam 1 tengah hari tetapi pintu pagar hanya dibuka 10 minit sebelum waktu janji temu bagi sesi 2 petang.
Petugas membenarkan hanya 10 individu masuk ke PPV secara berperingkat bagi mengelak kesesakan dalam PPV berkenaan.
Petugas terbabit memaklumkan berlaku kesesakan di lokasi PPV itu kerana sekurang-kurangnya 1,000 penerima vaksin membuat janji temu sehari bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang.
"Selain itu, ada juga di antara mereka yang tidak menepati masa. Ada yang sepatutnya janji temu pagi tetapi datang pada tengah hari.
"Ini menyebabkan proses urusan di PPV terganggu. Walaupun tempoh operasi hanya sehingga jam 5 petang tetapi berlanjutan sehingga jam 6 petang bagi menyelesaikan janji temu harian," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, orang awam yang ditemui, June Fong, 44, berkata, mencadangkan jumlah janji temu harian itu dikurangkan bagi mengelak kesesakan.
Menurutnya, walaupun datang ke PPV berkenaan setengah jam awal didapati bapanya masih perlu beratur di luar sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan.
"Perkhidmatan pasukan barisan hadapan di sini semuanya dalam keadaan baik cuma agak perlahan kerana terlalu ramai dan masa menunggu menjadi lama.
Dalam pada itu, didapati masih terdapat individu yang mencuba nasib ke lokasi PPV tanpa janji temu untuk mendapatkan vaksin.
Seorang warga emas, Poh Hai Chat, 58, dari Jalan Ipoh yang ditemui memberitahu, dia mahu mendapatkan suntikan berkenaan selepas pendaftaran di MySejahtera belum menerima sebarang maklum balas.
"Saya sudah lama mendaftar tetapi belum menerima panggilan. Jadi saya ke sini untuk membuat janji temu tetapi tidak dibenarkan.
"Saya tengok ramai yang takut untuk mengambil vaksin, itu sebabnya saya datang secara sukarela tetapi tidak dibenarkan masuk.
"Bagi saya suntikan vaksin tidak dapat dielakkan dan kini risiko semakin tinggi," katanya.
Isu kesesakan di PPV Manjalara itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Hannah melalui Facebooknya meminta mereka yang membuat janji temu tidak datang terlalu awal.
"Tolong hadir 15 atau 20 minit sebelum slot 'appointment' anda (tolong jangan datang berjam-jam awal dan berkumpul depan pintu pagar)
"Selain itu, jangan datang untuk mendapatkan vaksin tanpa temu janji," katanya di Facebooknya.
Beliau turut memaklumkan polis sedang membantu menambah khemah untuk keselesaan warga emas.